[VIDEO] STL 2024: Aksi Negeri Sembilan Antlers-Selangor Pistons antara 3 'epic comeback' mewarnai GP Selangor


  • Podium
  • Isnin, 16 Sep 2024

Perlawanan dramatik antara Negeri Sembilan Antlers berdepan Selangor Pistons antara aksi yang berjaya mencuri tumpuan peminat sepak takraw.

LIGA Sepak Takraw (STL) Emas Anuar 2024 bagi Grand Prix (GP) Selangor menyajikan peminat dengan adegan atau momen luar biasa yang ditampilkan oleh pasukan-pasukan tanah air.

Antara momen yang sering dinanti-nantikan adalah kemahiran libasan tajam daripada tekong dan rejaman mantap oleh apit kanan khususnya.

Selain daripada kemahiran tersebut, sukan sepak takraw turut menyajikan beberapa perlawanan yang boleh dianggap sebagai ‘epic comeback’.

BACA LAGI: STL 2024: ‘Comeback’ epik Negeri Sembilan Antlers muncul juara Kumpulan C, Johor Tigris kempunan ke suku akhir

BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: Tiada libasan, rejaman dari juara bertahan Perak Bison, KL Thunder muncul juara GP Selangor

Terdapat beberapa momen yang pastinya akan diingati oleh peminat tanah air dalam menyaksikan pasukan kesayangan mereka berdepan cabaran untuk meraih kemenangan.

Begitupun, bukan mudah untuk sesebuah pasukan meraih kemenangan dalam sukan sepak takraw apatah lagi dengan sistem 15 mata yang baru diperkenalkan.

Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga pasukan yang berdepan momen yang boleh digelar sebagai 'epik comeback'.

1) Perak Bison vs PDRM Defenders

Perak Bison terpaksa berhempas-pulas sebelum bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan PDRM Defenders dalam separuh akhir kedua GP Selangor.

Keadaan itu menyaksikan tekong simpanan, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin dibawa masuk untuk memberikan nafas baharu buat Perak Bison.

Namun, ketenangan Muhammad Hisyammudin Mohd Nazri selaku tekong dan rejaman mantap daripada Shahalril Aiman Halim (apit kiri) pada set pertama membolehkan PDRM Defenders meraih kemenangan dengan 15-13.

Begitupun, kehadiran Meor dan ketajaman rejaman Noraizat nyata meningkatkan kekuatan Perak Bison yang berjaya melakarkan kemenangan mudah pada set kedua (15-5) untuk mengheret aksi ke set penentuan.

Dengan pengalaman yang ada pada trio Perak Bison, pasukan itu sekali lagi mencatatkan kemenangan mudah 15-5 Meskipun tewas pada set pertama yang sekali gus berjaya mara ke final GP Selangor.

2) Negeri Sembilan Antlers vs Selangor Pistons

Perlawanan antara Negeri Sembilan Antlers dan Selangor Pistons menyajikan aksi yang penuh dramatik dalam suku akhir keempat saingan Liga Premier bagi GP Selangor.

Menariknya aksi tersebut, Negeri Sembilan Antlers yang ketinggalan 13-15 pada set pertama berjaya mengheret Selangor Pistons ke set penentuan.

Tekong kebangsaan, Haziq Hairul Nizam berjaya membantu pasukannya untuk beraksi di set penentuan selepas mencatat kemenangan 17-15 yang penuh dramatik.

Begitupun, Selangor yang dibarisi tekong berpengalaman Aizat Norazmi berjaya menyingkirkan Negeri Sembilan Antlers untuk mara ke separuh akhir GP Selangor.

WhatsApp Image 2024-09-15 at 23.51.19

Sabah tewas 2-1 di tangan Selangor Pistons aksi suku akhir pertama Divisyen 1.

3) Sabah Mountaineers vs Selangor Pistons

Sabah Mountaineers gagal layak ke Liga Premier selepas terkandas di peringkat suku akhir pertama dalam saingan Divisyen 1 apabila tewas 1-2 kepada Selangor Pistons.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Serindit, Melaka itu menyaksikan skuad kendalian Noor Azman Abdul Hamid mudah menundukkan Sabah Mountaineers dalam set pertama 15-3 hasil daripada libasan tekong kebangsaan, Zuhri Zin.

Bagaimanapun, permainan terpaksa diheret ke set penentuan apabila pasukan lawan melakukan kebangkitan menyamakan kedudukan 1-1 dengan keputusan 15-8 untuk menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya.

Meskipun Sabah Mountaineers berjaya melakukan ‘comeback’ pada set kedua namun libasan yang dihasilkan oleh tekong berpengalaman, Aizat Norazmi yang dibawa masuk set ketiga menoktahkan kemenangan 15-9 dalam set ketiga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram