NAMA Fernando Forestieri sudah bersama lagi dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas meninggalkan kelab itu pada Januari lalu.
Pemergiannya itu nyata menyedihkan penyokong Harimau Selatan kerana ketajaman pemain tersebut sering memberikan pelbagai detik indah buat JDT.
Kini tidak lagi bersama mana-mana pasukan, Forestieri bagaimana pun belum lagi bersara sebagai pemain profesional.
BACA LAGI: [VIDEO] Forestieri ubati kerinduan fans kelab lama di England, moga berulang bersama JDT
BACA LAGI: Lepas jadi rebutan kelab Timur Tengah, Forestieri dapat tawaran kelab Messi
Pemain berusia 34 tahun itu masih belum terfikir untuk bersara dan dengan tidak mempunyai kelab, dia masih perlu menjaga kecergasannya supaya tidak 'berkarat'.
Oleh itu, Forestieri mengambil keputusan untuk kembali semula ke salah sebuah kelab lamanya iaitu Watford di England.
Di media sosial kelab tersebut, Watford mengumumkan kepulangan semula Forestieri yang sering dianggap popular dalam kalangan penyokong kelab itu.
"Lihat, siapa yang kembali," kata media sosial Watford dalam siaran mereka.
Kepulangan semula Forestieri ke Watford bertujuan untuk pemain itu mengekalkan tahap kecergasannya sebelum mendapatkan kelab baharu.
Forestieri dilaporkan berlatih dengan skuad bawah 21 tahun (B-21) kelab tersebut.
Pemain Itali kelahiran Argentina itu bermain untuk Watford pada 2012 sebagai pemain pinjaman daripada Udinese sebelum menyertai kelab England itu secara tetap semusim kemudian. Dia kemudiannya meninggalkan kelab itu untuk Sheffield Wednesday pada 2015.
Forestieri juga terlibat ketika jaringan masyhur Troy Deeney pada separuh akhir EFL Championship play-off pada 2013 ketika menentang Leicester City yang menjadi sebahagian daripada sejarah penting kelab tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram