Terlalu fikirkan pingat punca Fareez Anuar terlepas gangsa Paralimpik ke tangan pemain Indonesia


  • Podium
  • Selasa, 03 Sep 2024

Fareez hampa tidak berjaya membawa pulang pingat buat Malaysia.

PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Fareez Anuar mengakui tertekan apabila berdepan wakil Indonesia, Dheva Anrimusthi semasa aksi penentuan pingat gangsa Sukan Paralimpik 2024 bagi kategori SU5 (kecacatan fizikal) pada Isnin.

Memetik laporan Selangor Kini, Fareez yang mencuri tumpuan apabila memenangi saingan peringkat kumpulan walaupun diletakkan dalam 'kumpulan maut', bagaimanapun pulang hampa selepas tidak berjaya meraih sebarang pingat.

Lebih perit, Fareez pada satu ketika mempunyai peluang untuk mendapatkan gangsa selepas memenangi set pertama 21-17.

BACA LAGI: 'Smash' padu Cheah Liek Hou tuai emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik 2024

BACA LAGI: Dibezakan 0.03 meter, Wong Kar Gee terlepas gangsa lompat jauh Paralimpik

Namun begitu, momentum tersebut tidak dapat dikekalkan apabila Fareez tumbang 19-21 dan 12-21 sekali gus memberikan Dheva pingat gangsa.

“Apa yang membezakan antara saya dan Dheva adalah pengalaman lawan pernah beraksi di Tokyo 2020 dan paling penting saya tidak dapat mengawal diri.

"Saya memang agak keras kerana terlampau berharap (pingat gangsa) sehinggakan permainan saya serba tidak menjadi hari ini (Isnin)," kata Fareez.

Fareez mengakui mengalami tekanan hebat sewaktu perlawanan separuh akhir bertemu seorang lagi wakil Indonesia iaitu Suryo Nugroho kerana begitu mahukan pertemuan seluruh Malaysia bertemu Cheah Liek Hou di aksi penentuan pingat emas.

Namun begitu, ketahanan mentalnya roboh pada saat genting dan Fareez yang kesedihan terpaksa melupakan peluang meraih pingat.

"Saya memang tak dapat nikmati permainan separuh akhir kerana ia paling tertekan kerana ketika itu saya memang fikir harapan untuk beraksi dengan Liek Hou di final kerana jika mara sah pingat dalam tangan,” ujarnya.

Fareez berazam untuk kembali lebih gagah selepas ini dengan pemain nombor empat dunia itu mahu tampil lebih garang pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram