BADAN penganjur liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk membenarkan seramai 12 pemain import didaftarkan buat wakil Malaysia di kejohanan Asia dan Asia Tenggara.
Pindaan tersebut dilihat dapat membantu kelab-kelab Malaysia seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC tampil lebih kompetitif di kejohanan antarabangsa.
Sebagai rekod, sebelum ini kelab Liga Super cuma dibenarkan mendaftarkan 10 pemain import saja sebelum pindaan dilakukan.
BACA LAGI: Liga sudah 'sakit', MFL pula umum kuota 12 import kepada 4 kelab Asia
BACA LAGI: Ramon Marcote cabar CEO MFL beri nafas baharu, berani eksport pemain tempatan ke Eropah
Pertambahan jumlah pemain import untuk wakil Malaysia di Asia untuk membantu mereka tampil lebih kompetitif.
"Penambahan kuota pemain asing ini memberi peluang kepada kelab- kelab Liga Malaysia yang layak ke pertandingan AFC Champions League Elite (ACLE), AFC Champions League 2 (ACL 2) dan Kejohanan Kelab-Kelab Asean 2024-2025 bersaing dalam kejohanan peringkat antarabangsa dengan lebih kompetitif.
"Ini susulan keputusan terbaharu AFC yang telah memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain asing tanpa had di dalam pertandingan kelab anjuran badan induk itu," ujar MFL dalam kenyataan mereka pada Rabu.
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, pindaan oleh MFL itu dilihat boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap badan liga itu terutamanya dari kalangan penyokong.
Hal ini kerana, penyokong nyata meragui jaminan MFL yang mengatakan peluang pemain tempatan tidak akan terganggu dengan pindaan tersebut.
Selangor merupakan wakil Malaysia di Liga Juara-Juara AFC 2.
"Pandangan ini lebih kuat berbanding dengan kenyataan MFL bahawa perubahan peraturan ini tidak akan menjejaskan peluang pemain tempatan untuk menonjolkan kehebatan. Saya percaya tidak semua peminat itu anti establishment.
"Bagi saya perubahan sesuatu peraturan itu kalau boleh biarlah ia dapat memberi banyak kebaikan kepada semua dan bukan untuk satu atau dua pasukan sahaja. Pemegang taruh MFL ini banyak pasukan yang mungkin tidak mampu bersuara atau membangkang perubahan ini kerana banyak pasukan dan kelab yang sedang sibuk menangani masalah yang membelenggu pasukan mereka sekarang.
"Walaupun tidak dinafikan perubahan peraturan itu memang perlu bagi memperkukuhkan kelab yang layak beraksi di liga elit Asia, kita juga jangan lupa tentang peribahasa ini 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan'," kata Pekan kepada Majoriti.
Kuala Lumpur City merupakan wakil Malaysia di Piala Shopee.
Melihat kepada pindaan itu, terdapat persepsi mengatakan yang saingan Liga Super akan menyaksikan pasukan lebih lemah semakin lemah dan kelab kuat menjadi lebih kuat.
Pekan tidak menafikan perkara itu dan ia membuatkan penyokong semakin tidak mahu mendekatkan diri ke stadium kerana saingan tempatan seolah sudah hilang seri.
"Sekarang, Liga Malaysia pun sudah tidak lagi kompetitif. Peminat pun sudah malas datang ke stadium. Begitulah sikap orang kita, kita pun tak boleh nak sibuk-sibuk. Biasalah waktu tengah banyak duit, nafsu kita pun berubah. Kita suka barangan dan jenama import, barangan tempatan kita tak pandang, sebab mutunya rendah.
"Tunggulah satu hari nanti, bila satu demi satu pasukan dan kelab Liga Super tarik diri dan bungkus, stadium pun semakin kosong dan lengang, tiada lagi penaja-penaja berminat untuk menjadi rakan strategik, pasukan kebangsaan sudah lagi tidak dipedulikan, pelajar sekolah dan anak-anak muda sudah tidak berminat lagi bermain bola sepak maka 'krisis bola sepak negara' akan bermula dan 'tanda-tanda besar kiamat bola sepak negara' muncul hingga berkuburlah bola sepak Malaysia," kata Pekan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram