ISU pencarian pelapis merupakan sesuatu yang perlu diatasi segera dalam dunia sukan tanah air memandangkan pengharapan terhadap atlet berusia masih berlaku.
Contoh terbaik dapat disaksikan dalam sukan berbasikal trek dengan orang ramai masih mengharapkan Datuk Azizulhasni Awang yang sudah berusia 36 tahun untuk bersaing pada temasya Olimpik akan datang.
Langkah sedemikian pasti mendatangkan kerugian kerana ketiadaan atlet muda hanya akan mengganggu pembangunan sesebuah sukan dengan penantian bertahun-tahun perlu ditempuhi untuk mencari seseorang bertaraf dunia.
BACA LAGI: Mahu terbang jauh, atlet pecut paralimpik Negeri Sembilan idam emas di temasya SUKMA
BACA LAGI: [VIDEO] Penat SUKMA belum habis, ‘ubi muda’ Petaling Perdana pasang impian ke Sukan SEA
Atlet kelainan upaya di Selangor akan melalui program i-Talent. — Facebook/Jabatan Belia dan Sukan Selangor
Jadi, dalam mengatasi isu tersebut, beberapa temasya peringkat kebangsaan diadakan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mencungkil bakat baharu dengan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) merupakan pertandingan terbaik.
Kejohanan yang diadakan setiap dua tahun itu bukan sahaja mementingkan pembangunan 'ubi muda' kerana ia dituruti penganjuran Para SUKMA bagi atlet dalam kelompok orang kelainan upaya (OKU).
Bagaimanapun, cabaran sudah tentu dihadapi persatuan sukan di setiap negeri untuk mencari peserta dalam kategori tersebut kerana tiada platform tersedia untuk mencari bakat di peringkat akar umbi.
Meskipun beberapa kejohanan sudah diadakan, kekurangan bakat setiap kali penganjuran sedikit sebanyak mendesak pihak atasan untuk mengambil pendekatan tangkap muat bagi mencari atlet muda bagi temasya Para SUKMA.
Azura (dua dari kiri) kelihatan yakin dengan program i-Talent yang dilaksankan Jabatan Belia dan Sukan Selangor.
Namun, bagi kontinjen Selangor yang akan berentap dalam kejohanan tidak lama lagi itu, perancangan awal dibuat pihak atasan dapat memastikan masalah berkenaan tidak dialami mereka.
Pengarah Jabatan Belia dan Selangor, Azura Sarbin berkata, persiapan rapi yang sudah dirangka membantu negeri tersebut mencari atlet muda dengan potensi tersendiri.
"Bagi Para SUKMA, kami di peringkat jabatan sudah melaksanakan program i-Talent yang mana ia merupakan satu program pencarian bakat-bakat baharu untuk melihat kebolehan dan kesesuaian masing-masing.
"Selain i-Talent, pihak jabatan akan memberi peluang buat barisan kejurulatihan untuk menilai keupayaan daripada program itu bagi dibentuk berdasarkan pelbagai aspek lain," katanya kepada Majoriti.
Kontinjen para SUKMA Selangor berada di kedudukan keempat pada edisi 2022. — Selangorkini
Menurutnya, perancangan kontinjen negeri untuk ke Para SUKMA sudah dibuat sejak edisi yang diadakan dua tahun lalu di Kuala Lumpur bagi memastikan pasukan Selangor cukup bersedia.
Pada penganjuran sebelum ini, Sabah mengungguli carta kutipan pingat dengan 125 yang terkumpul secara keseluruhan dengan 54 emas, 36 perak dan 35 gangsa direkodkan.
Bagi Selangor pula, mereka hanya berada di kedudukan keempat hasil kutipan 78 pingat dengan 28 emas dibawa pulang yang menyaksikan mereka berada di belakang Johor.
Jadi, kedudukan itu sudah tentu diharapkan dapat diperbaiki negeri tersebut dengan pencapaian kontinjen SUKMA menjadi penanda aras buat mereka yang juga mahu berada dalam kelompok tiga pasukan teratas.
Kontinjen Selangor berada di kedudukan ketiga dalam temasya SUKMA Sarawak 2024. — Selangorkini
Dalam pada itu, Azura berkata, program i-Talent dapat membantu mencari bakat baharu, namun kebolehan masing-masing menentukan sama ada mereka dapat meneruskan karier dalam sukan diceburi.
"Bakat mereka ada, cuma untuk mereka konsisten sedikit sukar kerana kami tidak memiliki sistem sokongan yang baik dengan ia juga bergantung kepada minat masing-masing dalam meneruskan latihan dan lain-lain.
"Selain itu, mereka juga perlu melakukan pengorbanan dari segi wang ringgit kerana kami tidak mempunyai dana khusus untuk pembangunan atlet kurang upaya," katanya.
Bagaimanapun, tegasnya lagi, MSN Selangor kini sudah mengambil langkah untuk sukan Para SUKMA terus berkembang jauh apabila mereka terus memberikan suntikan dana.
Sekiranya langkah tersebut terus diambil, tiada kemungkinan negeri itu dapat melahirkan lebih ramai bakat pada tahun-tahun akan datang yang kemudiannya akan berentap dalam temasya Paralimpik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram