SETIAP atlet muda yang sedang meningkat naik mempunyai sasaran peribadi mereka dalam apa sahaja acara diceburi dan antaranya ialah mahu membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Impian untuk memastikan nama berada dalam lipatan sejarah atlet kebangsaan itu juga menjadi sasaran peribadi atlet perempuan balapan Selangor, Raja Nur Ain Raja Muhamad Baddiuzzaman.
Raja Nur Ain yang baru sahaja menyelesaikan tugasan mewakili negeri kelahirannya dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak baru-baru ini menyertai pula Kejohanan Olahraga Majlis Sukan-Sukan Selangor (MSSS) 2024.
BACA LAGI: Detik jadi pemisah, anak legenda JDT terkandas di separuh akhir MSSS 2024
Kuartet 4x400m lari berganti-ganti wanita yang disertai Raja Nur Ain bersama rakan sepasukannya Aina Batrisyia Abdullah, Nicole Jia Xin Lai, dan Nur Afrina memenangi tempat ketiga pada SUKMA baru-baru ini.
"Saya akui penat tapi lepas SUKMA saya ada proses recovery seperti buat urutan dan wajib mandi ais. Untuk MSSS pun saya akan sasarkan satu-satu acara dan bukan semua, tak nak tamak sangat sebab nak elak cedera.
"Saya sedar yang saya tak banyak pengalaman kerana tahun lalu pun pertama kali masuk MSSS. Tahun ini pun saya tak jangka dapat peluang ke SUKMA dan berhasil dapat pingat.
"Tetapi kalau boleh memang nak sasarkan wakili Malaysia pada SEA Youth (Kejohanan Remaja SEA," katanya ketika ditemui Majoriti pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan-Sukan Selangor (MSSS) yang berlangsung di Padang Sultan Suleiman dekat Klang, Selangor pada Isnin.
Menurut atlet berusia 17 tahun itu, dia sama sekali tidak berasa terbeban dengan kepercayaan yang diberi dengan menyertai kejohanan berturut-turut dan sebaliknya menganggap ia adalah proses pembelajaran.
Raja Nur Ain turun dengan reputasi besar untuk bersaing dalam lima acara iaitu 100 meter (m), 200m, 400m, 4x100 dan 4x200m di kejohanan MSSS berkenaan.
Raja Nur Ain (kanan) dan adiknya, Raja Nur Aimi meminati sukan olahraga sejak kecil.
"Bawa nama Petaling Perdana memang susah untuk tahun ini. Saya sasar emas untuk 4x400, 4x 100 dan 400 meter. Saya rasa tak terbeban sebab saya rasa ia cabaran baru untuk belajar.
"Tahun lepas pun saya tiada expectation yang macam begini. Tahun ini pun saya baru belajar untuk macam mana nak sasarkan sesuatu dalam kejohanan," ujar atlet dari Setia Alam, Selangor itu.
Sementara itu, adik Raja Nur Ain, Raja Nur Aimi pula bersaing untuk acara 100m, 4x100, 4x200 dan lompat jauh bagi kategori P4 iaitu pelajar yang berusia 12 tahun ke bawah.
Berbeza dengan kakaknya yang aktif dalam acara balapan, Raja Nur Aimi lebih gemar acara padang dengan lompat jauh menjadi sukan kegemaran wakil dari kontinjen Petaling Perdana itu.
"Lompat jauh saya suka sebab lompat jauh tidak penat dan lebih menarik daripada acara balapan. Kalau saya, saya sasarkan nak masuk MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia) untuk lompat jauh.
"Saya rasa terinspirasi lihat kakak semakin berhasil," katanya yang berharap akan mengikuti jejak langkah kakaknya pada suatu hari nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram