PERBELANJAAN besar-besaran dibuat Johor Darul Ta'zim (JDT) pada jendela perpindahan kali ini apabila seramai tujuh import baharu sudah disambar kelab berkenaan.
Kemasukan beramai-ramai itu sudah tentu meningkatkan persaingan dalam pasukan Selatan tanah air tersebut yang sudah serba lengkap dalam kesemua posisi di atas padang.
Jadi, demi memastikan minit permainan terjaga, beberapa pemain sudah tentu terbuka untuk meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan kali ini sama ada secara pinjaman atau kekal.
BACA LAGI: Hector Bidoglio puas hati, gabungan rekrut baharu, bintang terpinggir JDT menjadi
BACA LAGI: Kenyataan Sanusi panas, cuma ramai senada ukur baju di badan sendiri jangan jadi macam JDT
Hazwan (tengah) sudah merasmikan perpindahan ke skuad The Cats. — Instagram/Kuching City FC
Contoh terbaik boleh disaksikan apabila bekas penyerang skuad Harimau Selatan, Ahmad Hazwan Bakri secara rasmi menyertai Kuching City FC pada Isnin meskipun tahu lebih banyak pencapaian dapat direkodkan jika kekal di JDT.
Perpindahan terbabit menyaksikan pemain kelahiran Labuan berkenaan menamatkan kariernya selama kira-kira tujuh tahun bersama skuad Harimau Selatan sejak menyertai mereka dari Selangor.
Kontraknya yang sudah tamat pada penghujung musim 2023 masih bertegas untuk menyertai kelab bimbingan Aidil Sharin Sahak terbabit dengan ia wajar dicontohi pemain lain.
Berdasarkan senarai skuad Harimau Selatan ketika ini, terdapat nama-nama yang sepatutnya mengambil peluang pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia untuk mencari majikan baharu.
1. Nazmi Faiz Mansor
Khabar angin mengatakan pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor akan meninggalkan JDT bukanlah perkara baharu apabila bakatnya di kelab Selatan tanah air itu terus disia-siakan.
Selain hanya beraksi ketika berdepan pasukan lebih lemah, bekas bintang Harimau Malaya itu juga terus dilupakan dengan kehadiran import baharu setiap kali jendela perpindahan dibuka.
Tetapi, kali ini, dia seakan-akan lebih terbuka untuk berhijrah berdasarkan beberapa ura-ura yang diberikan pemain itu sendiri di media sosial peribadinya.
Nazmi dilaporkan mahu meninggalkan skuad Harimau Selatan. — Instagram/Nazmi Faiz
Antara destinasi disebut-sebut bakal dipilih Nazmi Faiz untuk meneruskan kariernya ialah Penang FC yang sudah menerima Syamer Kutty Abba secara pinjaman sejak awal musim lalu.
Selain itu, pemain berusia 30 tahun tersebut juga dilaporkan menarik minat Kedah Darul Aman (KDA) FC, namun perpindahan itu sukar untuk direalisasikan berikutan masalah kewangan dihadapi mereka.
Jadi, sekiranya Nazmi sememangnya mahu mencari angin baharu, kembali beraksi di samping Syamer dalam skuad Harimau Kumbang merupakan pilihan terbaik buatnya.
2. Izham Tarmizi
Dalam jendela perpindahan kali ini, seramai dua penjaga gol baharu sudah disambar JDT iaitu Christian Abad serta Andoni Zubiaurre yang masing-masing beraksi di Sepanyol sebelum ini.
Kemasukan kedua-dua mereka pasti membuka lembaran baharu dalam barisan pertahanan skuad Harimau Selatan yang sememangnya sukar untuk ditembusi ketika ini.
Tetapi, kesan daripada perkara itu menyaksikan persaingan semakin hebat di posisi penjaga gol dengan Syihan Hazmi dan Farizal Marlias masih mampu diturunkan.
Izham tidak lagi beraksi secara kerap sejak pulang ke skuad Harimau Selatan. — Instagram/Izham Tarmizi
Pemain yang paling terkesan sudah tentu Izham Tarmizi kerana dia masih relevan untuk beraksi dalam saingan Liga Super seperti mana sudah dibuktikan bersama Sri Pahang FC musim lalu.
Meskipun khidmatnya diperlukan dalam kempen Piala FA, pemain berusia 33 tahun itu pasti terbuka untuk mencari angin baharu demi meraih minit permainan sebelum menamatkan karier.
Perpindahan ke Perak FC atau kepulangan ke skuad Tok Gajah merupakan pilihan terbaik dimiliki Izham sekiranya dia mahu mendapatkan semula status penjaga gol nomber satu pasukan.
3. Shahrul Saad
Salah seorang rekrut awal dilakukan JDT pada jendela perpindahan kali ini adalah apabila mereka menyambar bek tengah dari Korea Selatan, Park Jun-heong dari Ratchaburi FC.
Kemasukannya menyaksikan skuad Harimau Selatan memiliki lambakan pilihan dalam benteng pertahanan dengan Jordi Amat dan Feroz Baharudin sudah menjadi pilihan utama Hector Bidoglio.
Saingan lebih sengit itu bakal menyaksikan bek tengah kebangsaan, Shahrul Saad semakin sukar untuk meraih minit permainan dengan pemain berkenaan kerap diletakkan di bangku simpanan dalam musim-musim kebelakangan ini.
Shahrul Saad pasti akan terus tersisih musim-musim selepas ini. — Instagram/Shahrul Saad
Oleh itu, sekiranya JDT mahu memastikan pemain itu tidak disia-siakan, dia boleh dilepaskan secara pinjaman pada jendela perpindahan kali ini bagi memastikan minit permainan diperolehinya secara kerap.
Bek tengah yang turut dikenali sebagai Badak tersebut boleh kembali ke skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan pasukan Utara tanah air tersebut juga pastinya memerlukan pengalamannya di barisan pertahanan mereka.
Shahrul juga semestinya berminat dengan peluang itu kerana dia dapat berkhidmat buat negeri kelahirannya buat kali terakhir sebelum menamatkan karier pada masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram