Tak jadi singgah Penang, Nazmi Faiz dikhabar pilih Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 07 Sep 2024

Nazmi Faiz dikhabarkan sedang mempertimbangkan tawaran ke Kedah. — Facebook/Nazmi

JENDELA perpindahan Liga Malaysia (Liga M) yang sedang berlangsung pada 26 Ogos sehingga 22 September 2024 membuka peluang buat pasukan Liga Super membawa masuk beberapa pemain baharu untuk menjadi tonik tambahan pada pusingan kedua.

Antara pasukan yang sudah memperkenalkan pemain baharu mereka ialah Johor Darul Ta'zim (JDT), Penang FC dan Selangor FC dengan kebanyakan pasukan memilih untuk merekrut bintang import.

Apabila ada pemain baharu yang didaftarkan, ia juga menutup ruang pemain lama mendapatkan minit permainan namun pada masa sama, ia sebenarnya peluang untuk mereka beraksi bersama pasukan lain.

BACA LAGI: Perak tak bersedia, wakil Wolfsburg bongkar TBG tarik diri lepas 3 bulan jalin kerjasama

BACA LAGI: Wolfsburg idam bintang JDT, Selangor tapi lebih rela pilih Gergasi Merah saingi Harimau Selatan

Pinjaman ke pasukan lain seperti yang sering diguna pakai oleh Harimau Selatan antara alternatif terbaik untuk pemain-pemain tersisih mendapatkan ruang mengembalikan potensi mereka.

Antara pemain senior Harimau Selatan yang dikhabarkan bakal membawa haluan baharu ialah Nazmi Faiz Mansor dengan dikatakan pemain tengah itu akan menyertai Penang FC pada jendela perpindahan kedua ini.

Spekulasi Nazmi Faiz bakal menyarung jersi Harimau Kumbang mula diperkatakan apabila pemain berusia 30 tahun itu dilihat memuat naik gambar seekor Harimau Kumbang di Insta Story peribadinya baru-baru ini.

Tidak sampai seminggu khabar angin Nazmi Faiz akan menyertai rakannya, Syamer Kutty Abba ke Penang FC, timbul pula dakwaan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam proses cuba menyambar khidmat bekas tonggak kebangsaan itu.

kedah kedah

Nazmi Faiz dipercayai mampu membantu pasukan Hijau Kuning untuk mendapatkan rentak semula dalam saingan Liga Super. — Facebook/KDAFC

Bagaimanapun, masih tiada sebarang pengesahan rasmi mengenai khabar angin Nazmi Faiz akan berhijrah ke Kedah dan belum dapat dipastikan sama ada dia akan kembali sebagai pemain tetap atau sekadar pinjaman.

Setakat ini, pemain kelahiran Shah Alam, Selangor tersebut masih memanaskan bangku simpanan Harimau Selatan apabila sekadar merekodkan tiga penampilan Liga Super sahaja.

Penghijrahannya ke skuad kendalian Nafuzi Zain juga akan membantu pasukan Hijau Kuning untuk mendapatkan rentak semula dan memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan Liga Super.

Untuk rekod, pasukan Utara tanah air kini menghuni tempat kelapan liga dengan merekodkan tiga kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan dalam lapan perlawanan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram