'Mereka pun cerdik,' ex staf Perak FC sanggup terima gaji rendah jadi pengurus jualan, lega bantu pemain desak pengurusan


  • Podium
  • Rabu, 11 Sep 2024

Tunggakan gaji yang berlaku kepada Perak memberi kesan kepada rumah sewa dan kereta Muhammad Azim.

MASALAH kewangan yang menjejaskan gaji pemain dan kakitangan dalam sesebuah kelab bola sepak boleh mematahkan semangat untuk mereka meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.

Situasi itu berlaku kepada bekas bekas penganalisis prestasi pasukan Perak FC, Muhammad Azim Abdul Rahim yang kini bertukar kerjaya kepada pengurus jualan kereta selepas tidak tahan dengan layanan skuad The Bos Gaurus (TBG).

Penganalisis prestasi yang berusia 31 tahun itu sebelum ini mendedahkan bahawa pasukan Utara tanah air itu bukan saja gagal membayar gaji, malah turut culas dalam membuat potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai.

BACA LAGI: [VIDEO] Tewas 2 kali di tangan Sang Penyu, Kim Swee letak sandaran di bahu import Brazil

BACA LAGI: [VIDEO] Tak lagi dengan Perak, Hadi Fayyadh pilih sertai kelab lama

Mengulas lanjut mengenai luahannya di laman Facebook baru-baru ini, Muhammad Azim berkongsi bahawa Perak mengambil pendekatan membayar gaji secara separuh-separuh sejak Mei lalu.

"Perak bayar gaji separuh-separuh sejak Mei lalu. Maksudnya dah dua bulan tertunggak. Mereka (Perak) ini pun cerdik, mereka akan buat pembayaran juga walaupun ada satu bulan itu hanya bayar suku sahaja. Perkara ini sudah berlaku sejak awal musim.

"Saya tak nak pun kongsi di media sosial tapi saya banyak komitmen. Nak bayar rumah sewa, bayar komitmen kereta. Daripada terus dilayan begitu, saya pilih untuk berhenti. Saya berhenti Ogos lalu dan tak pergi mana-mana pasukan," katanya kepada Majoriti.

Tunggakan gaji yang berlaku itu bukan hanya memberi kesan kepada pembayaran rumah sewa dan kereta, malah menyukarkan bekas penganalisis prestasi Terengganu FC untuk membeli susu dan lampin pakai buang anaknya.

Muhammad Azim juga menjelaskan bahawa pengurusan Perak juga tidak menjalankan tanggungjawab dalam menyelesaikan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga cukai pendapatan sejak Ogos lalu.

"Income tax mereka bayar asuran dan KWSP bayar asuran. Bila cukai tak bayar dan saya tak boleh ambil duit lebihan itu sebab mereka tak bayar.

"Lepas itu KWSP saya, saya tak boleh nak pindahkan pergi account flexible sebab tak ada duit. Banyaklah kesan benda itu kepada saya," luahnya.

Tindakan berkongsi di Facebook itu hakikatnya membantu Muhammad Azim membuka mata pihak pengurusan dengan dia memaklumkan bahawa Perak FC sudah menghubunginya untuk menyelesaikan itu tersebut.

AZIM PERAK

Walaupun menerima gaji yang lebih rendah sebagai pengurus jualan kereta namun Muhammad Azim lebih tenang dengan pendapatan tetap.

Bukan hanya membantu menyelesaikan isu tunggakan gajinya, malah tindakan Muhammad Azim juga membantu para pemain dan kakitangan lain Perak FC untuk mendesak pihak pengurusan menjalankan tanggungjawab.

"Secara tak langsung, bila saya buat macam tu, ia membantu pemain. Mereka (pengurusan) dapat tekanan daripada saya. Saya sedih tengok bola sepak sekarang masalah gaji macam ni.

"Sebenarnya masalah gaji ini memang memberi kesan yang besar lah dalam latihan dan ketika pergi ke perlawanan," katanya sambil berharap agar skuad TBG akan segera menyelesaikan masalah itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram