Kedah hampir tutup kedai? Skuad B-23 jadi pilihan lawan lawan KL City


  • Podium
  • Khamis, 12 Sep 2024

KDA FC menaruh harapan tinggi kepada barisan pemain muda Sang Kenari untuk berdepan cabaran bertemu The City Boys pada Sabtu nanti. — Facebook/KDAF

SKRIP Kelantan FC diambang kemusnahan dek masalah kewangan yang tidak menemui jalan penyelesaian pada musim lalu terjadi kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC pada tahun ini.

Skuad Hijau Kuning yang kini dalam persiapan untuk menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu ini bagi saingan Liga Super dikhabarkan akan menghantar skuad Bawah 23 (B-23) tahun mereka.

Meskipun tiada sebarang pengesahan sama ada Kedah akan menghantar pemain muda mereka namun keadaan yang tengah menimpa pasukan itu seolah-olah mengiyakan perkara tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Tewas 2 kali di tangan Sang Penyu, Kim Swee letak sandaran di bahu import Brazil

BACA LAGI: [VIDEO] Tak lagi dengan Perak, Hadi Fayyadh pilih sertai kelab lama

Sebelum ini, sesi latihan skuad kendalian Nafuzi Zain menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan penyokong selepas menyaksikan tiada kelibat pemain senior mahupun import di atas padang.

Desas-desus Kedah dikatakan akan menghantar skuad B-23 mereka tersebar selepas satu ciapan yang dimuat naik oleh pemerhati bola sepak tanah air, Piang Shankly pada laman Twitter (X) peribadinya pada Rabu.

"Berita dari Alor Setar. Sebagaimana Kelantan musim lepas, Kedah hanya akan hantar pasukan B-23 bertemu KL Sabtu ini.

"Beberapa pemain utama bakal berhijrah ke pasukan lain dalam jendela perpindhaan kedua ini. Tan Sri Daud (Dr. Daud Bakar) hampir putus asa. Kedah semakin hampir tutup kedai," tulisnya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan pemain senior Sang Kenari memboikot sesi latihan kerana dipercayai berpunca daripada masalah gaji.

Sebelum ini, pemain pertahanan Sang Kenari, Irfan Zakaria memberikan isyarat mengenai permasalahan gaji Kedah yang belum lagi selesai.

Irfan berkongsikan sebuah imej karikatur sedang mencari gaji yang tidak kunjung tiba. Bukan Irfan saja, malah pemain-pemain Kedah lain masih terjejas dengan isu kewangan melibatkan kelab.

Selain itu, skuad Hijau Kuning juga terpaksa berputih mata apabila kehilangan beberapa pemain seperti Habib Haroon dan Fikri Che Soh pada jendela perpindahan kedua ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram