DUA tahun lalu Perak FC mengambil satu langkah progresif apabila melaksanakan kolaborasi bersama kelab bola sepak ternama Bundesliga Jerman, Vfl Wolfsburg dalam misi membangunkan bakat muda apabila menjalin kerjasama.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) pada Oktober 2022 dengan kedua-dua pasukan bersetuju membangunkan kelab termasuk menghantar jurulatih dan pemain ketika pramusim selain menyokong kem latihan.
Kerjasama yang sepatutnya berakhir pada Disember 2023 bagaimanapun rupanya menemui titik nokhtah apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) difahamkan memilih untuk menamatkan perjanjian MoU mereka selepas tiga bulan berkolaborasi.
BACA LAGI: Wolfsburg idam bintang JDT, Selangor tapi lebih rela pilih Gergasi Merah saingi Harimau Selatan
Keputusan itu sudah tentu membawa kekecewaan, terutamanya buat kelab Jerman tersebut yang sudah bersedia untuk membantu membangunkan Perak FC dari peringkat akar umbi sehingga ke skuad utama.
Ketua Wakil Wolfsburg Asia Tenggara, Ken Hew terkilan dengan keputusan Perak yang mengambil mudah mengenai kerjasama tersebut dan sehingga ke hari ni pihaknya masih tertanya-tanya mengapa Perak enggan meneruskan kerjasama tersebut.
"Kerjasama dengan Perak FC sangat menyedihkan. Perak FC tak bersedia. Bila mereka datang kepada kami, memang nak kami tolong untuk baiki semua peringkat di Perak. Pada masa itu memang nampak hasrat mereka nak berubah.
"Pada masa itu mereka pun dah ambil Datuk Lim Teong Kim sebagai jurulatih, jadi kami pun dah faham filosofi mereka nak DNA Jerman. Jadi ia searus dengan kami. Kami pun dah rancang nak develop pemain dengan cara Jerman," katanya kepada Majoriti.
Perak FC sebelum ini menggugurkan Teong Kim daripada tugasnya pada 25 Mei lalu. — Facebook/PerakFC
Kecewa dengan keputusan tersebut, Ken Hew turut mendedahkan pihaknya sudah meletakkan harga yang berpatutan untuk kerjasama berkenaan namun pihak pengurusan TBG lebih memilih untuk mendiamkan diri.
Lebih mengecewakan apabila pasukan gergasi Jerman itu difahamkan sudah menyediakan kertas kerja yang sesuai dengan landskap bola sepak tanah air namun masih menerima identiti Wolfsburg.
"CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) (Michael Meeske) pun cakap benda ini cabaran kepada kami. Kami bagi dia harga yang berpatutan sebab nak tunjukkan kebolehan kami boleh tolong mereka. Tapi mereka cakap akademi mereka tak bersedia. Asas mereka tak siap lagi.
"Kami dari Wolfsburg dah 'move on' dengan Perak. Kami dah ada konsep nak bangunkan akar umbi mereka. Kami ambil sebulan setengah nak buat proposal yang komprehensif untuk Perak. Kami dah buat yang sesuai dengan budaya Malaysia," kongsinya.
Perak kini menghuni tangga ke-10 Liga Super. — Facebook/PerakFC
Dalam pada itu, melihat keadaan semasa Perak yang sebelum ini pernah terpalit dengan masalah kewangan dan bergelut dengan prestasi semasa, Ken Hew sempat menitip pesanan buat pasukan Utara tanah air tersebut.
"Pada pendapat saya, Perak kena faham apa mereka buat. Pemilikbaharu iaitu XOX Bhd dah bayar banyak semasa menyelamatkan Perak sebelum ini. Semua itu pun dah cukup melabur.
"Mungkin mereka (XOX) ada cabaran tersendiri dan tiada pengalaman dalam bola, baru dalam industri. tetapi mereka dah cuba terbaik tolong kembalikan Perak. Saya harap Perak akan lebih faham apa yang mereka buat," katanya.
Pada Ogos 2022, XOX Bhd melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd telah menyelesaikan pengambilalihan Perak FC Sdn Bhd dan syarikat berkenaan berhasil membantu TBG kembali bersaing dalam saingan Liga Super pada 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram