BERKOLABORASI bersama pasukan popular dunia pastinya menjadi impian setiap kelab domestik dengan ia akan menjadi platform terbaik untuk pendedahan mengenai landskap bola sepak di luar negara.
Jika ada pasukan yang berminat untuk mendapatkan peluang bekerjsama dengan pasukan lain, pasukan Bundesliga iaitu VfL Wolfsburg sedia menghulurkan tangan bagi bersama-sama membangunkan bola sepak lokal.
Sejak melebarkan sayap di Malaysia pada 30 Ogos 2023, pasukan gergasi Jerman iaitu sedang mencari rakan-rakan kongsi dari pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang mampu untuk bersama-sama membina kem-kem untuk pembangunan akar umbi.
BACA LAGI: Wolfsburg idam bintang JDT, Selangor tapi lebih rela pilih Gergasi Merah saingi Harimau Selatan
Pembangunan di peringkat akar umbi yang dimaksudkan ialah Wolfsburg akan berperanan dalam membuat satu struktur baharu dengan sentuhan elemen bola sepak tempatan bagi mengetengahkan bakat 'ubi muda' tanah air.
Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Wakil Wolfsburg Asia Tenggara, Ken Hew yang sehingga kini masih menanti kerjasama dari pasukan bola sepak tanah air bagi mencari lebih banyak bakat pemain muda.
"Jika kami dapat rakan strategik di Malaysia, mereka akan bersama-sama dengan kami dalam membuat program dapatkan bakat. Kebiasaannya apa yang kami akan buat ialah buat struktur baharu dengan mereka dan kembangkan bakat pemain.
"Dari situ kita akan cungkil. Mana yang berbakat akan berlatih dengan pelatih dari Jerman dan pelatih tempatan. Tidak boleh terlalu bergantung dengan jurulatih luar, kadang nanti ada yang tak faham dan budaya juga berbeza. Jadi, kita juga akan bekerjasama dengan jurulatih di sini.
"Kita akan melatih mereka (pemain) untuk ke tahap seterusnya dan akan bawa mereka ke Wolfsburg untuk pendedahan kepada permainan yang tinggi. Ia juga untuk beri mereka keyakinan supaya apabila balik Malaysia akan jadi pemain berbeza," katanya kepada Majoriti.
Meskipun tidak menjalin kerjasama dengan mana-mana pasukan namun Qaseh Rania (dua dari kiri) antara 'ubi muda' tanah air yang dibantu Wolfsburg.
Dalam pada itu, Ken Hew juga berkongsi bahawa seseorang pemain perlu mempunyai mentaliti yang kuat jika mereka mendapat peluang beraksi dengan kelab luar negara seperti Wolfsburg.
Sebelum ini, Wolfsburg sudah pernah menjalin kerjasama bersama Perak FC namun ia menemui titik nokhtah apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) difahamkan memilih untuk menamatkan perjanjian MoU mereka selepas tiga bulan berkolaborasi.
Kini, Wolfsburg dalam perancangan untuk menjalin kerjasama bersama Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram