[VIDEO] Forestieri ubati kerinduan fans kelab lama di England, moga berulang bersama JDT


  • Podium
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Mesin gol kelahiran Argentina, Forestieri ketika beraksi bersama Watford. — Instagram/secondtierpod

KERINDUAN penyokong bola sepak Watford terhadap penyerang berbisa Johor Darul Ta'zim (JDT), Fernando Forestieri terubat apabila dia muncul di hadapan penonton pasukan tersebut baru-baru ini.

Meskipun meninggalkan kelab itu pada 2015 namun penyokong Watford tidak pernah melupakan mesin gol kelahiran Argentina tersebut.

Menerusi laman Instagram rasmi @watfordcofficial, kelihatan Forestieri sempat mengabadikan momen berswafoto bersama penyokong cilik pasukan berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pilih silambam sebab dengar cakap bapa, atlet 14 tahun SUKMA buat seluruh Batang Kali bangga

BACA LAGI: Harumkan nama SEMBAKA dan Selangor, ayah mahu Nur Rania tolak tepi soal minit permainan, fokus kutip pengalaman

Kegembiraan jelas terpancar di wajah tonggak Harimau Selatan tersebut kerana dapat melawat dan meluangkan masa bersama bekas pasukannya itu.

Untuk rekod, sebelum ke JDT, Forestieri menyertai beberapa kelab Itali bersama Genoa, Siena, Vicenza, Empoli dan Bari.

Bukan itu sahaja, dia juga pernah beraksi di Sepanyol bersama Malaga serta di England bersama Watford.

Bersama Watford, Forestieri meninggalkan kenangan indah di hati peminat kelab tersebut.

Antara momen istimewa yang sentiasa menjadi ingatan penyokong Watford adalah 'Deeney Moment' dan kelab berkenaan akan dikenang selamanya.

Forestieri pernah menjadi watak penting Watford yang mana dia membuat hantaran penting kepada bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Troy Deeney.

Ketika perlawanan menentang Leicester City pada aksi separuh akhir playoff untuk mendapatkan tempat ke divisyen teratas bola sepak England, Forestieri menghantar bola kepada Deeney sehingga pasukan mereka membuat kejutan dengan membuat jaringan di masa kecederaan, sekali gus menumpaskan skuad pelawat 3-1.

Momen bersejarah pada 2013 itu disifatkan antara detik manis untuk Warford kerana pasukan tersebut dalam usaha untuk ke pentas akhir kejuaraan berkenaan bagi mendapatkan slot ke EPL.

Namun, dalam perlawanan akhir, Watford tewas 0-1 di tangan Crystal Palace sekali gus menyaksikan mereka berputih mata untuk dinaikkan pangkat ke divisyen teratas.

Lawatan sebegitu tentunya diharapkan dapat disaksikan di JDT jika Forestieri mengucapkan selamat tinggal selepas ini, lagi-lagi apabila pemain itu mempamerkan aksi cukup baik sepanjang dua musim lebih bersama Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram