SELANGOR FC dan Terengganu FC mencapai persetujuan untuk menunda aksi Liga Super Malaysia minggu ke-11 (LS11) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 September.
Permohonan penundaan itu berikutan jadual padat yang diharungi pasukan Selangor FC di mana mereka akan memulakan aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) menentang kelab dari Thailand, Muangthong United pada 19 September.
Mengikut jadual asal, Selangor FC tidak mempunyai masa rehat yang cukup untuk kembali beraksi menentang Terengganu FC pada 21 September sekembalinya mereka dari Thailand.
BACA LAGI: Terengganu FC beri Selangor hari rehat, setuju tangguh perlawanan lepas jumpa kelab Thailand
Permohonan penundaan ini pada awalnya turut dipersetujui oleh Terengganu sebelum Malaysia Football League (MFL) turut mengesahkan permohonan itu melalui satu kenyataan pada Khamis (12 September).
Namun persetujuan oleh pihak pengurusan Terengganu bersama Selangor tidak mendapat persetujuan daripada penyokong Sang Penyu.
Menerusi posting Facebook, Radhie Abdullah Din turut melakukan pembandingan hari rehat Terengganu pada musim lalu ketika menyertai kejohanan Piala AFC 2023 sebelum bertemu Selangor.
Pada tahun lalu, Terengganu hanya mendapat dua hari rehat sebelum bertemu Selangor di halaman sendiri dengan keputusan berpihak kepada Gergasi Merah.
Selangor menewaskan Terengganu dengan keputusan 4-0 dalam perlawanan itu.
Namun kini, Selangor pula mendapat rehat selama lapan hari sebelum bertemu Terengganu selepas pulang daripada Thailand.
"Siapa wakil Terengganu FC yang setuju dengan pindaan jadual melampau ini? Tak pernah lagi sampai beri kesan penundaan dua perlawanan berturut-turut.
"Serius ke tidak menguruskan pasukan dan kenal erti 'advantage' untuk pasukan. Baik hati biar bertempat.
"Kejar 'advantage' yang ada untuk kelebihan pasukan sendiri, ini perebutan liga untuk layak ke slot Asia musim depan," katanya.
Ternyata persetujuan antara Terengganu dan Selangor itu tidak mendapat restu daripada penyokong Sang Penyu sendiri.
Selain aksi menentang Gergasi Merah, tarikh aksi Sang Penyu dengan PDRM FC turut diubah.
Kedua-dua pasukan yang sepatutnya berentap pada 29 September kini bakal bertemu pada 4 Oktober ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram