Kebal 12 aksi berturut-turut, fans tagih formula bintang muda Sang Penyu genap semusim lepas


  • Podium
  • Rabu, 18 Sep 2024

Skuad Sang Penyu tidak berada dalam momentum terbaik untuk meletakkan mereka di kedudukan lebih kukuh. — Facebook/Terengganu FC

SKUAD Sang Penyu berada dalam prestasi kurang memuaskan memasuki pertengahan musim 2024/25 dengan hanya dua kemenangan direkodkan dalam lima perlawanan terakhir mereka.

Kemenangan Liga Super ke atas Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC merupakan momen terbaik mereka kebelakangan ini dengan ia tidak cukup untuk meletakkan pasukan itu di kedudukan lebih baik.

Dua keputusan seri berturut-turut ketika berdepan Sabah FC dan Sri Pahang FC jelas meranapkan rentak kelab Pantai Timur tersebut untuk mengejar slot ke pentas Asia.

BACA LAGI: [VIDEO] Alex kongsi kisah ex import 'scam', berlagak kononnya terlalu bagus buat Pahang

BACA LAGI: Beri 3 lagi peluang atau kembalikan Tomislav ke posisi asal — Legend Peteh

2303423

Tomislav dipersalahkan atas prestasi tidak menentu skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Isu tersebut menyaksikan sebahagian besar penyokong mula meluahkan perasaan untuk menyaksikan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner melepaskan jawatannya secepat mungkin.

Bagi mereka, taktikal pengendali dari Croatia itu hanya mensia-siakan Terengganu FC yang memiliki lambakan bintang dalam pasukan seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Marin Pilj.

Pergerakan perlahan dan terlalu berhati-hati dikatakan punca skuad Sang Penyu tidak berada di tahap sebenar dengan orang ramai melihat mereka sepatutnya mencabar Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Selangor FC secara serius musim ini.

Namun, luahan itu sudah tentu melukakan hati Tomislav yang meraih pujian menggunung lebih kurang setahun lalu atas prestasi bergaya di peringkat domestik.

Kemenangan 2-0 dicatatkan ke atas skuad Gergasi Merah dalam suku akhir pertama Piala Malaysia menyaksikan kelab itu diangkat sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai pertandingan itu edisi 2023.

380281444_300541736020601_5137495630366323069_n

12 perlawanan tanpa tewas mengukuhkan lagi status Tomislav musim lalu. Facebook/Terengganu FC

Ia turut menjadikan Terengganu FC sebagai salah sebuah kelab terbaik apabila mereka terus kebal dengan tidak mengalami kekalahan dalam 12 perlawanan berturut-turut Liga Malaysia musim lepas.

Namun, rekod itu akhirnya lebur apabila mereka sekali lagi bertemu Selangor FC dalam saingan Liga Super dengan kekalahan teruk 0-4 terpaksa ditelan Terengganu FC.

Bagaimanapun, apa yang menarik menarik mengenai skuad bimbingan Tomislav ketika itu adalah kekerapannya menurunkan pemain muda seperti Ubaidullah Shamsul Fazili dan Safwan Mazlan yang cemerlang dalam barisan pertahanan.

Kehadiran mereka turut diakui pengendali tersebut sebagai batu asas kukuh buat pasukan yang bercita-cita besar dalam memberikan peluang buat pemain tempatan berkembang.

Meskipun memiliki lambakan bintang import, peluang sama rata diberikan Tomislav sudah cukup untuk menaikkan lagi reputasi Terengganu FC dalam arena bola sepak negara.

2431587

Prestasi skuad Sang Penyu adalah lebih baik sepanjang musim lalu. Facebook/Terengganu FC

Pendekatan sedemikian diteruskan sehingga hari ini apabila Terengganu FC terus menurunkan 'ubi muda' dengan penjaga gol, Syed Nasrulhaq menjadi pemain terbaru diberikan ruang berkenaan.

Bagaimanapun, kepercayaan itu masih belum cukup untuk memacu skuad Sang Penyu kerana Tomislav perlu mengambil risiko dalam perlawanan akan datang sekiranya mereka bercita-cita besar.

Peluang menebus kekecewaan tersebut kini terhidang buat mereka yang bakal bertemu Selangor FC dalam aksi Liga Super di laman sendiri pada 28 September akan datang.

Sekiranya tiga mata berjaya diraih, terdapat peluang besar buat Terengganu FC kembali ke landasan dengan slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 menjadi sasaran utama pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram