Sony Norde jalan pergi latihan, ramai cakap elok untuk rawatan kaki


  • Podium
  • Khamis, 19 Sep 2024

Sony Norde terpaksa berjalan kaki ke pusat latihan Kedah untuk persiapan bertemu Sri Pahang.

BERITA gembira buat penyokong Kedah Darul Aman FC apabila para pemain senior mereka sudah kembali menjalani latihan apabila melakukan boikot akibat masalah kewangan dihadapi kelab itu.

Mereka dijangka kembali beraksi bertemu Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat selepas skuad muda digunakan sewaktu menentang Kuala Lumpur City FC, Sabtu lepas.

Namun begitu, ada perkara kurang enak didengar selepas pendedahan oleh ketua pasukan, Sony Norde mengenai situasi semasa Sang Kenari yang tidak menunjukkan perkembangan baik.

BACA LAGI: Dulu beraksi di ACL, kini bintang Sabah, Kedah, Terengganu hanya jadi penonton

BACA LAGI: Sabah, Kuching, Terengganu untung besar jika sambar bintang tinggalkan Kedah

Memetik laporan Berita Harian, Norde mendedahkan dia terpaksa berjalan kaki sejauh enam kilometer dalam hujan untuk menuju ke pusat latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

460610299_559930486388133_4638688372376035816_n

Para pemain import Kedah sudah kembali jalani latihan untuk aksi menentang Sri Pahang.

"Anda boleh lihat sendiri saya datang ke padang latihan hari ini dengan berjalan kaki kerana kekurangan duit untuk mengisi petrol kereta saya dan saya akan pulang ke rumah juga dengan dengan cara yang sama walaupun dalam keadaan cuaca hujan.

"Sudah lama saya terpaksa berkorban untuk pasukan dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Apabila keadaan tunggakan gaji masih berlarutan, saya terpaksa hadapi kehidupan dalam serba kekurangan hinggalah apa yang kamu lihat," kata Norde.

Luahan hati Norde itu bagaimana pun dilihat daripada sisi berbeza oleh penyokong Kedah yang menganggap itu satu peluang baik untuknya meningkatkan kualiti sebagai pemain.

Bagi mereka, berjalan kaki untuk ke tempat latihan dapat membantu meningkatkan kecergasannya sebagai pemain.

"OK apa jalan kaki? Baik untuk rawatan kaki," kata penyokong bernama Aziz Jusoh.

"Tak apalah untuk tambah stamina. Itu pun cara berhemah juga," komen Mahadi Mahmod.

"Bukan jauh mana pun (jarak ke pusat latihan), sesuailah untuk berjalan kaki. Macam jogging saja," ujar Mohd Rasimi.

Apa yang dikatakan penyokong itu mungkin ada benarnya, tetapi yang lebih menjadi kerisauan pemain adalah keadaan kewangan mereka semakin meruncing hingga menganggu kehidupan seharian.

Diharap situasi kewangan Kedah kembali pulih supaya mereka barisan pemain kembali bersemangat berjuang untuk Sang Kenari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram