Man City boleh jatuh liga jika bersalah, kes salah laku 115 sudah bermula


  • Podium
  • Selasa, 17 Sep 2024

Perbicaraan mengenai 115 pertuduhan terhadap Manchester City berkenaan pelanggaran peraturan kewangan Liga EPL dilaporkan sudah bermula pada Isnin. — Agensi

PERBICARAAN mengenai 115 pertuduhan terhadap Manchester City berkenaan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL) dilaporkan sudah bermula pada Isnin.

Kelab itu didakwa dan dirujuk kepada sebuah suruhanjaya bebas pada Februari tahun lalu setelah siasatan selama empat tahun dijalankan.

Dakwaan tersebut melibatkan pelanggaran peraturan kewangan antara tahun 2009 dan 2018.

Memetik laporan media antarabangsa, The Times, City bakal tersingkir dari liga EPL sekiranya dakwaan itu terbukti di mahkamah.

Bagaimanapun, Manchester City dengan tegas menafikan semua pertuduhan dan menyatakan bahawa kes mereka disokong 'badan bukti yang lengkap dan tidak dapat disangkal'.

BACA LAGI: Tak sangka, abang bomba viral dukung warga emas rupanya pelantun lagu Iban 'Ke Pengujung Seput'

BACA LAGI: Ibu terharu, anak melecur teruk 75 peratus tak pernah menyesal dijulang 'unsung hero'

EPL mendakwa City melanggar peraturan yang mewajibkan kelab menyediakan 'maklumat kewangan yang tepat bagi memberi gambaran sebenar dan adil tentang kedudukan kewangan kelab'.

Maklumat tersebut merangkumi hasil menerusi pendapatan kelab, termasuk wang penajaan dan kos operasi seperti penjualan tiket dan kutipan pada hari perlawanan.

FblEngPrManCityWestHam

City bakal tersingkir dari liga EPL sekiranya dakwaan itu terbukti di mahkamah.— Agensi

Mereka juga menuduh juara EPL itu tidak bekerjasama dalam siasatan.

Apabila siasatan EPL bermula, City menyatakan bahawa tuduhan tersebut adalah fitnah dan tuduhan yang asalnya diterbitkan di akhbar Jerman, Der Spiegel, diperoleh daripada 'penggodaman yang tidak sah dan penerbitan e-mel City di luar konteks'.

Untuk makluman, City telah memenangi lapan kejuaraan liga, pelbagai trofi domestik dan Liga Juara-Juara UEFA sejak pengambilalihan oleh Abu Dhabi United Group pada tahun 2008.

Perbicaraan tertutup dijangka berlangsung selama 10 minggu dan diadakan di Pusat Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa di London, United Kingdom.

Menurut wartawan sukan BBC, Laura Scott, perbicaraan tersebut berlangsung dengan penuh kerahsiaan bagi memastikan tiada kebocoran maklumat.

Menurutnya, hanya beberapa wartawan hadir di luar lokasi perbicaraan, termasuk peguam utama City, Lord Pannick, yang mengetuai pasukan undang-undang kelab itu.

Bagaimanapun, tiada tanda-tanda kelibat peguam dari pihak EPL dengan masing-masing yang dipercayai memasuki lokasi melalui pintu berasingan.

Untuk rekod, kes ini telah berlangsung selama enam tahun sebelum perbicaraan bermula, dan anggaran kos guaman di kedua-dua pihak telah mencecah puluhan juta pound.

Difahamkan, pihak yang menang dalam perbicaraan ini berkemungkinan akan membuat tuntutan kos.

Sebagai perbandingan, dalam kes penolakan enam mata Everton pada musim lalu, kos guaman asal sebanyak £4.9 juta (RM27 juta), tetapi mahkamah rayuan memutuskan Everton perlu membayar £1.7 juta (RM9 juta), dan EPL menanggung baki £3.2 juta (RM22 juta).

Kos yang dibayar oleh EPL selepas kes City ini akan diagihkan kepada 20 kelab yang merupakan ahli liga tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram