NAMA Lee Zii Jia sering menimbulkan perdebatan terhadap penyokong badminton negara. Ada yang begitu menyokong dan tidak kurang juga yang sering mengecam.
Begitu juga dengan prestasinya, turun naik persembahan Zii Jia dalam satu tahun Jelajah Dunia BWF sering menimbulkan persoalan.
Dengan kekalahan baharu di Terbuka China selepas membawa pulang pingat gangsa di Sukan Olimpik 2024, prestasi Zii Jia menghimpit ke tahap terendah pada tahun ini.
BACA LAGI: Harapan buru emas sulung Olimpik: Saya harap Lee Zii Jia 'peak' di Paris — Hamidin
BACA LAGI: Lee Zii Jia buat keputusan tepat, jadi bintang tunggal negara sertai Terbuka Australia
Membina prestasi di puncak
Satu keraguan nyata penyokong terhadap Zii Jia adalah mengenai konsistensinya ketika beraksi. Ada satu ketika, dia mampu menghasilkan persembahan cemerlang, tetapi selepas itu Zii Jia akan mula merudum.
Prestasinya mula kelihatan konsisten bermula daripada Piala Thomas. Sejak daripada itu, persembahan Zii Jia tampak semakin baik hingga keyakinan penyokong mula meningkat terhadapnya.
Titik kebangkitan Zii Jia adalah pada Piala Thomas 2024.
Keyakinan pastinya hadir dengan harapan. Peningkatan prestasi Zii Jia itu sudah pasti menimbulkan harapan seluruh negara untuk melihatnya membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik walaupun berdepan tugas sukar.
Walaupun tidak bernasib baik membawa pulang emas, Zii Jia masih membawa hasil iaitu gangsa. Selepas memperolehnya, pemain itu menzahirkan niat untuk terus mengejar emas pada Sukan Olimpik akan datang.
Tiba-tiba menjunam
Selepas berjaya membawa pulang pingat gangsa, prestasi Zii Jia mula menjunam sedikit demi sedikit bermula di Terbuka Jepun pada Ogos lalu.
Tewas kepada pemain Perancis, Alex Lenier 18-21, 13-21 di pusingan awal menimbulkan kritikan namun ia tidaklah sekuat selepas kekalahan memalukan di Terbuka China.
Zii Jia tewas teruk kepada Watanabe di Terbuka China.
Kekalahan kepada pemain bukan pilihan dari Jepun, Koki Watanabe, 15-21, 2-21 menimbulkan reaksi kurang senang penyokong. Persembahan Zii Jia pada perlawanan tersebut nyata mewujudkan persoalan.
Mendahului 9-1 pada set pertama, Zii Jia kemudiannya kalah set pertama sebelum mencipta rekod buruk hanya mengutip dua mata pada set kedua.
Berperang dengan diri sendiri
Baru saja memasuki kedudukan ketiga terbaik dalam ranking BWF selepas Sukan Olimpik, prestasi Zii Jia terus menjunam. Ia seolah-olah, versi Lee Zii Jia yang tidak konsisten sudah kembali semula, sama seperti pernah kita saksikan sebelum Piala Thomas.
Situasi tersebut jelas tidak ideal, walaupun menduduki kedudukan ketiga, tempatnya masih boleh dicabar dan kemungkinan namanya boleh tersisih daripada top 8 yang layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF.
Zii Jia ada mengatakan yang dia tidak berada pada tahap 100 peratus berdepan Watanabe dan mengalami kecederaan selepas mengharungi latihan di tahap intensiti tertentu.
Semestinya itu adalah satu perkara yang Team LZJ perlu kesan dan selesaikan menjelang kejohanan penutup musim itu. Jika tidak, kemungkinan dia akan berdepan lebih banyak keputusan tidak memihaknya dalam kejohanan seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,