Kenali Aref Al-Haj, pengganti Reziq yang bakal cabar posisi Alvin Fortes, Faisal Halim


  • Podium
  • Selasa, 17 Sep 2024

Aref Al-Haj dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor.

PEMERGIAN Reziq Bani Hani nyata cukup sakit untuk diterima oleh penyokong Selangor FC kerana mereka kehilangan seorang bintang muda berkualiti.

Namun begitu, Selangor dilaporkan pantas mencari pengganti dengan seorang lagi pemain Jordan, Aref Al-Haj disebut-sebut akan hadir menggantikan Reziq.

Mempunyai profil seperti Reziq, Aref dilaporkan merupakan pemain muda Jordan yang mempunyai potensi besar menghadirkan saingan kepada Alvin Fortes dan Faisal Halim di kesebelasan utama Selangor.

BACA LAGI: Dua nama jadi sebutan, Selangor bakal umum pemain import Jordan baharu

BACA LAGI: Kejar lebih minit permainan jadi punca Reziq Bani Hani tergesa-gesa tinggalkan Selangor

Versatil

Kekuatan kepada permainan Aref adalah kebolehannya untuk beraksi di pelbagai posisi serangan.

Aref yang berkaki kanan secara asasnya adalah seorang pemain sayap, tetapi dia mempunyai kebolehan untuk bermain sebagai sayap kiri dan kanan.

aref2

Aref (kanan) beraksi untuk Jordan di Piala Asia B-23.

Malah, Aref juga boleh dijadikan sebagai penyerang utama jika diperlukan oleh jurulatih. Ia menunjukkan pemain tersebut selesa diletakkan di mana-mana posisi serangan dan menarik untuk saksikan bagaimana percaturan Nidzam Jamil untuknya.

Versatil Aref dilihat mampu memberikan masalah kepada Fortes dan Faisal jika mereka ingin mendapatkan tempat di kesebelasan utama. Oleh itu, prestasi perlu ditingkatkan supaya tempat tidak dirampas Aref.

Bertaraf Asia

Walaupun masih muda, tetapi Aref sudah mempunyai kelas tersendiri di peringkat Asia selepas pernah bermain di peringkat tertinggi benua sebelum ini.

Aref pernah beraksi di saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) bersama Al-Faisaly pada musim 2023/2024 dan bermain dalam kesemua perlawanan peringat kumpulan sambil menyumbang satu gol.

1dbea3b070c91da82c7dc532aa9234a3

Aref (kanan) sudah beraksi di peringkat tertinggi Asia.

Ia memberikan pengalaman berharga buatnya dan itu pastinya dimanfaatkan oleh Selangor apabila dia menyertai pasukan untuk mengharungi cabaran getir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Sudah pasti, Selangor mahukan seramai boleh pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di pertandingan tertinggi supaya ia menjadikan cabaran Gergasi Merah tidak goyah berdepan kelab-kelab Asia.

Masih boleh digilap

Masih berusia 23 tahun, Aref dianggap sebagai pemain yang masih boleh digilap untuk menjadi bintang di masa depan.

Mewakili Jordan di skuad bawah 23 tahun (B-23) dan mempunyai satu penampilan bersama pasukan senior, ia menunjukkan Aref berada di landasan baik untuk menjadi bintang hebat kelak.

Jika jadi ke Selangor, ia boleh menjadi platform baik buat Aref dan Nidzam perlu memastikan pembangunannya sebagai pemain tidak terbantut.

Namun Aref harus sedar, hadir ke Selangor penuh dengan jangkaan tinggi. Jadi dia perlu hadapi sebaiknya untuk membawa pulang piala buat Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram