PERSEMBAHAN cemerlang daripada penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC), Aqil Razak memastikan Perak FC sekadar menang tipis 1-0 dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada sebelah petang, skuad kendalian Yusri Che Lah menguasai perlawanan dengan memegang bola dan sering melancarkan serangan.
Ia dapat dilihat dengan ketara apabila Negeri Sembilan terpaksa bergantung kepada serangan balas pantas untuk mendapatkan gol.
BACA LAGI: Nanthakumar tampil selaku penyelamat musim buat Negeri Sembilan FC
BACA LAGI: Pemergian Habib jadi signal KDN, Negeri Sembilan, Pahang sedia sambar 3 permata Kedah
Separuh masa pertama menyaksikan Perak sering berada di kawasan Negeri Sembilan dan sering melakukan serangan. Namun begitu, setiap serangan pasti menemui jalan buntu dek kerana kecemerlangan Aqil.
Aqil beberapa kali dilihat menepis serangan Perak yang diketuai oleh Clayton da Silva, Wan Zack Haikal dan juga Luciano Guaycochea.
Ia membuatkan kedudukan kekal 0-0 di separuh masa pertama namun Perak akhirnya memecah kebuntuan semasa awal separuh masa kedua menerusi jaringan Clayton pada minit ke-48.
Kecemerlangan Aqil terserlah lagi di separuh masa kedua apabila dia menyelamatkan sepakan penalti Guaycochea dengan satu tepisan baik pada minit ke-66.
Bagaimana pun, persembahan Aqil tidak cukup untuk menghalang Negeri Sembilan daripada kalah 0-1 di laman sendiri sambil Perak membawa pulang tiga mata.
Penyokong Perak memuji persembahan daripada Aqil tetapi dalam masa yang sama mempersoal kualiti serangan The Bos Gaurus.
"Cemerlang pula penjaga gol Negeri Sembilan," kata penyokong bernama Mohd Razif.
"Yusri kena letak lima penyerang baru boleh gol. Kawal permainan tapi tak jaringkan gol apa kejadahnya," komen Muhamad Feroz.
"Nak bola rope itu baru boleh gol," ujar Firdaus Daus.
Penyokong Negeri Sembilan pula risau melihat situasi penyokong yang menjadi pasukan kedua terbaik di padang.
"Kalau macam ni main, separuh masa kedua memang kena," ujar Syam Izwan.
"Bahagian tengah Negeri Sembilan kuranglah," Muhd Huzairiez memberikan pandangannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram