PENCARIAN pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik diteruskan pada 2024 apabila negara sekali lagi akan memburunya di temasya yang diadakan dekat Paris, Perancis.
Diletakkan sebagai salah satu sandaran, harapan negara terletak kepada pemain perseorangan badminton, Lee Zii Jia untuk menamatkan kemarau panjang itu.
Merupakan pemain terbaik negara ketika ini, Zii Jia bagaimana pun berdepan masalah tidak konsisten dari tahun 2023 hingga ia mengundang kritikan pedas penyokong.
BACA LAGI: Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik jadi sandaran utama Malaysia raih emas di Sukan Olimpik
BACA LAGI: Sasaran Piala Asean: Bergantung JDT dan Selangor — Hamidin Mohd Amin
Hamidin berharap Zii Jia akan mempamer persembahan cemerlang di Paris kelak. — FAM
Akan tetapi, pemain kelahiran Kedah itu sedikit demi sedikit menunjukkan peningkatan dalam permainannya. Bermula dengan persembahan mantap di Piala Thomas, momentum itu diteruskan apabila Zii Jia menjuarai Terbuka Thailand sebelum mengesahkan slot separuh akhir Malaysia Masters pada Jumaat.
Bagi Chief de Mission (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin, besarlah harapannya untuk melihat Zii Jia berada pada tahap terbaik di Paris kelak.
"Sejak Piala Thomas, dia sudah mempunyai peningkatan dalam 30 hingga 40 peratus. Semasa di Piala Thomas, dia benar-benar bangkit dan memberikan saingan.
"Saya berharap Zii Jia akan mencapai peak dalam permainannya apabila di Paris kelak," kata Hamidin secara eksklusif kepada Majoriti.
Hamidin juga berharap agar Zii Jia dapat membina momentum permainannya menerusi kejohanan yang disertainya menjelang Sukan Olimpik.
Ia dapat dilihat selepas membina momentum baik di Piala Thomas, Zii Jia meneruskan rentak itu pada Terbuka Thailand serta Malaysia Masters.
Akan tetapi, Hamidin berharap Zii Jia dapat membina keyakinan dalam dirinya sekali gus memecahkan tembok kesukaran apabila berdepan pemain-pemain tertentu.
"Saya katakan kepada Zii Jia, dia perlu bina keyakinan diri dia. Dia perlu lebih banyak bercampur dengan orang dan tidak membiarkan diri itu sunyi.
"Hal ini kerana, apabila berdepan pemain-pemain tertentu, Zii Jia mengalami masalah untuk menewaskan mereka. Jika keyakinan diri dapat dibina, dia mampu memberikan saingan kepada mereka," kata Hamidin.
Selain Zii Jia, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Pearly Tan-M. Thinaah dilihat berpotensi memberikan pingat emas Olimpik buat Malaysia menerusi acara badminton. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram