MASA semakin hampir untuk Sukan Olimpik 2024 berlangsung dan sekali lagi, Malaysia mengharapkan sukan badminton sebagai ruang untuk mendapatkan pingat emas pertama daripada temasya tersebut.
Persediaan untuk meraih kemasyhuran giat dilakukan dengan Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah bagi memastikan ia terlaksana.
Selepas tamatnya Terbuka Indonesia, tumpuan terarah ke Terbuka Australia. Dengan kedua-dua gandingan beregu tidak menyertai kejohanan ini, Zii Jia menjadi satu-satunya wakil Olimpik ke pertandingan tersebut.
BACA LAGI: Harapan buru emas sulung Olimpik: Saya harap Lee Zii Jia 'peak' di Paris — Hamidin
BACA LAGI: Terbuka Thailand: Lee Zii Jia hanya perlu 34 minit untuk bergelar juara
Saat kedua-dua beregu memilih untuk tidak bertanding, Zii Jia terus mengerah kudrat. Adakah itu satu tindakan tepat atau kelak memberikan masalah kepadanya menjelang Sukan Olimpik?
Membina momentum
Di saat ganding beregu negara memilih untuk bertenang, Zii Jia terus membina momentum di Terbuka Australia.
Momentum yang dibina sejak Piala Thomas jelas membantu Zii Jia untuk mencapai kemuncak prestasi. Ia jelas dilihat apabila pemain itu terus beraksi baik di Terbuka Thailand, Malaysian Masters dan Terbuka Indonesia.
Terbuka Australia dilihat boleh memberikan platform baik buat Zii Jia meneruskan prestasinya sambil dapat mencuba menambah koleksi trofinya musim ini.
Tambahan pula, pilihan untuk beraksi di Terbuka Australia adalah pilihan Zii Jia sendiri kerana dia tidak terikat dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Zii Jia terpaksa menarik diri daripada Terbuka Singapura kerana kecederaan. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star
Mungkin asahan terakhir sebelum ke Paris
Memandangkan masa semakin hampir untuk Sukan Olimpik, berkemungkinan Terbuka Australia merupakan kejohanan terakhir disertai Zii Jia.
Dengan baki tinggal Terbuka Australia, Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Kanada, tidak terkejut jika Zii Jia memilih untuk tidak menyertai dua kejohanan tersebut yang begitu dekat dengan Sukan Olimpik.
Faktor dua kejohanan tersebut yang jauh di Amerika Utara pasti sedikit sebanyak akan menganggu momentum dan waktu rehat Zii Jia kerana perlu melalui perjalanan panjang.
Oleh itu, tindakan Zii Jia membina momentum di Australia yang berada di Asia adalah satu keputusan bijak.
Terbuka Australia mungkin jadi destinasi terakhir Zii Jia sebelum ke Sukan Olimpik. — Agensi
Kurang tekanan
Terbuka Australia dilihat sebagai ruang yang baik untuk Zii Jia kerana faktor tekanan rendah kejohanan tersebut.
Tidak seperti Malaysian Masters di mana Zii Jia beraksi di laman sendiri atau Terbuka Indonesia yang mana ia adalah kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000, Terbuka Australia merupakan kejohanan lebih rendah tingkatnya iaitu Super 500.
Oleh itu, tekanan tidak terlalu tinggi untuk Zii Jia, apatah lagi harapan tidak menggunung untuknya membawa pulang trofi. Jika dia tersingkir di suku akhir atau separuh akhir, ia dilihat sebagai satu pemanas badan yang baik untuknya sebelum Sukan Olimpik.
Jika Zii Jia membawa pulang trofi, ia adalah bonus untuknya kerana itu boleh membantu Zii Jia mendaki ranking BWF. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram