PEMAIN sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Ramadhan Saifullah sah menyarung jersi pasukan Kuching City FC.
Berita baik itu dikongsikan di laman rasmi Facebook Kuching City yang memperkenalkan pemain kelahiran Johor tersebut sebagai wajah baharu pasukan berkenaan.
"Ramadhan Saifullah is Kuching City FC," katanya di Facebook pada Selasa.
Difahamkan, Ramadhan berkelana ke pasukan yang berpangkalan di Borneo itu dengan status secara 'pinjaman' daripada Harimau Selatan.
Kehadiran Ramadhan dijangka mampu untuk membantu memperbaiki kedudukan The Cats dalam saingan Liga Super 2024/2025.
Bukan itu sahaja, kehadiran bintang muda JDT itu dijangka dapat menambah sengat pada jentera serangan The Cats yang kini diketuai Tchetche Kipre, Jordan Mintah dan muka baharu Hazwan Bakri.
Bersama JDT, Ramadhan yang berusia 24 tahun hanya beraksi sebanyak tiga kali sahaja bagi musim ini dengan dua penampilan dalam saingan Liga Super.
Kuching City kini menduduki tangga kelima Liga Super dan bakal berdepan JDT pada 27 September nanti dalam aksi minggu ke-12 saingan liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,