Terengganu FC beri Selangor hari rehat, setuju tangguh perlawanan lepas jumpa kelab Thailand


  • Podium
  • Khamis, 12 Sep 2024

Tarikh perlawanan ditunda itu mendapat persetujuan daripada pihak Terengganu dan MFL.

AKSI Liga Super membabitkan pasukan Terengganu FC dan Selangor FC akan ditunda kepada 28 September untuk memberikan laluan buat Gergasi Merah tempoh berehat selepas pulang daripada Thailand.

Jadual asal yang bertarikh 21 September terpaksa ditunda kerana Selangor akan menghadapi cabaran Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) bertemu Muangthong United pada 19 September di Bangkok, Thailand.

Menerusi kenyataan Selangor FC, tarikh perlawanan ditunda itu mendapat persetujuan daripada pihak Terengganu dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

BACA LAGI: Tak 'perform' 2 tahun, legenda Chelsea suruh Raheem Sterling salahkan diri sendiri

BACA LAGI: 'Hanya tertunggak sebulan setengah', Pengerusi Perak FC akui saingan liga berehat jejas keuntungan kelab

"Perlawanan LS11 (Liga Super minggu ke-11) Terengganu FC melawan Selangor FC dijadualkan pada 21 September 2024 telah ditunda kepada 28 September 2024 atas persetujuan bersama dengan pihak Terengganu FC dan Malaysian Football League (MFL).

"Seperti makluman semua, Selangor FC akan mewakili negara dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL2) di mana perlawanan pertama akan berlangsung pada 19 September 2024 menentang kelab dari Thailand, Muangthong United FC.

"Pihak Selangor FC telah memohon untuk penangguhan perlawanan LS11 menentang Terengganu FC kerana tidak mempunyai hari rehat selepas perlawanan apabila perlu bermain dengan Muangthong United FC di Bangkok pada 19 September, melalui perjalanan Bangkok - KLIA - Kuala Terengganu pada 20 September dan seterusnya menentang Terengganu pada 21 September.

"Pihak Selangor FC ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Terengganu FC atas semangat kesukanan tinggi yang dipamerkan serta pihak Malaysia Football League (MFL) atas kerjasama dalam perkara ini," katanya dalam kenyataan.

Selain aksi menentang Gergasi Merah, tarikh aksi Sang Penyu dengan PDRM FC turut diubah.

Kedua-dua pasukan yang sepatutnya berentap pada 29 September kini bakal bertemu pada 4 Oktober ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram