Tiada rotan, akar pun berguna, fans Kedah lapang dada lihat skuad muda jadi pilihan Nafuzi


  • Podium
  • Rabu, 11 Sep 2024

KDA FC menaruh harapan tinggi kepada barisan pemain muda Sang Kenari untuk berdepan cabaran bertemu The City Boys Sabtu nanti. — Facebook/KDAFC

KEM Kedah Darul Aman (KDA) FC boleh menarik nafas lega selepas pemain Sang Kenari dilihat kembali berlatih bagi menghadapi aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC pada Sabtu.

Bagaimanapun, sesi latihan tersebut menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan penyokong selepas menyaksikan tiada kelibat pemain senior mahupun import di atas padang.

Lebih menyedihkan, hanya pemain muda sahaja yang dilihat meneruskan perjuangan Sang Kenari yang diketuai oleh Nafuzi Zain itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Tewas 2 kali di tangan Sang Penyu, Kim Swee letak sandaran di bahu import Brazil

BACA LAGI: Pengurus Selangor Pistons 'telan pahit' apit kanan cedera menjelang aksi STL lawan ATM Guardians

Nafuzi

Meskipun tanpa pemain utama Sang Kenari, Nafuzi (dua kiri) menaruh harapan tinggi kepada pemain muda KDA FC. Facebook/KDAFC

Sebelum ini, media tempatan melaporkan pemain senior Sang Kenari memboikot sesi latihan kerana dipercayai berpunca daripada masalah gaji.

Begitu pun, rata-rata penyokong Jelapang Padi berlapang dada dengan keputusan Nafuzi yang memberi peluang kepada ubi muda pasukan tersebut.

Malah, ada juga memuji dengan keberanian Nafuzi yang menaruh harapan tinggi kepada ubi muda Sang Kenari itu.

"Tiada rotan, akar pun berguna, daripada bela import yang tiada hasil elok bela budak-budak muda ni, pengurusan tak pernah belajar, duit tiada tapi keinginan besar, nasi dah jadi bubur, menang kalah lawan saja," kata Mohd Helme Ismail.

"Ini baru real, KDA FC bawah turun pemain Bawah 23 Tahun untuk Liga Super, tiada import pun okay saja, menang kalah adat permainan, yang penting bagi pengalaman dekat pemain," kata Sham Isam.

"Buat yang terbaik ubi muda, tunjukkan kemampuan anda, kepada abang-abang senior kami sebagai fans mampu berdoa semoga dipermudahkan urusan," kata Zameer Zulkhurnai.

"Semoga dipermudahkan semua pemain, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, berjuanglah sejiwa murni," kata Nabil Carlvalho.

"Peluang tidak selalu datang, jadi buatlah yang terbaik, buktikan yang team B pun boleh bersaing hebat," kata Amran Ali.

KDA FC kini menghuni tangga kelapan liga dengan mengumpul lapan mata selepas lapan perlawanan berlangsung.

Untuk rekod, kali terakhir Sang Kenari memenangi perlawanan Liga Super adalah pada 12 Julai lalu ketika menewaskan Kelantan Darul Naim 3-0 di laman sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram