'Ini kemenangan untuk Terengganu', skuad Sang Penyu cemerlang rangkul gelaran juara PNAGS 2024


  • Podium
  • Khamis, 12 Sep 2024

(Dari kiri) Lokman Ishak, Ng Kim Yong, Kamaruzzaman Mansor, Asmat , Adam Adli, Mohd Firdaus Ahmad, Isac Saminathan, Muhammad Nor Hisham Hussain dan Sia Chee Kian.

TERENGGANU menepati gelaran sebagai gergasi golf amatur Malaysia apabila berjaya merangkul gelaran juara kejohanan final Kebangsaan Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) 2024 di yang berlangsung selama dua hari di Forest City, Johor pada 9 dan 10 September lalu.

Menyaksikan 70 pemain golf amatur terbaik negara, setiap daripada mereka hadir dengan semangat juang yang tinggi selepas terpilih mewakili negeri masing-masing apabila melepasi peringkat kelayakan yang diadakan seluruh negara sebelum ini,

Dua lapangan golf Forest City iaitu Legacy dan Classic yang terkenal dengan cabaran wasteland dan rough yang sukar dijinakkan, ternyata menguji keupayaan dan bakat setiap pemain untuk mecari gelaran juara kejohanan tersebut.

BACA LAGI: Grand final PNAGS 2024: 70 pemain golf amatur rebut 5 slot ke Phuket

BACA LAGI: PNAGS 2024 lebih sengit, bakal uji ketahanan pemain golf amatur

Terengganu yang diketuai Mohd Firdaus Ahmad, ternyata bijak menggunakan pengalaman dan kerjayanya sebagai peguam untuk memimpin pasukan Pantai Timur itu mencipta kemenangan mutlak, menewaskan pasukan negeri lain.

"Kami sedar pasukan negeri lain mempunyai pemain yang lebih ramai dan berpengalaman.

"Strategi kami amat mudah. Tingkatkan tahap permainan dan kekal bersatu. Saya amat berbangga dengan semangat dan keupayaan yang ditunjukkan pasukan saya.

"Ini adalah kemenangan untuk Terengganu dan bukti kesungguhan dan usaha keras kami," kata Firdaus.

Antara pemain yang menyumbang kepada kemenangan Terengganu termasuk Muhammad Nor Hisham Hussain, Ng Kim Yong, Sia Chee Kian dan Kamaruzzaman Mansor.

Firdaus juga tidak bersembunyi tanda penghargaannya terhadap pihak penganjur dan pihak lain yang terlibat termasuk penaja kejohanan PNAGS siri keempat itu.

"Persembahan kami seiring dengan kualiti penganjuran yang baik oleh Delta World, rakan kerjasama dan Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) Malaysia. Tahap profesional yang ditunjukkan mereka wajar dicontohi," katanya.

Majlis penyampaian hadiah kejohanan itu disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim bersama Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Asmat dalam pada itu berkata, sebagai bekas pemain golf, beliau sentiasa berpegang kepada nilai baik yang ada dalam permainan golf iaitu kejujuran, disiplin, rasa horma dan sentiasa mencari kemajuan diri.

"Perodua sentiasa komited dengan prinsip ini dan kami berbesar hati dapat menyokong PNAGS sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikat ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Lokman Ishak turu mengulas tentang cabaran dan pencapaian mengendalikan kejohanan besar itu.

"Penganjuran kejohanan ini di 14 negeri bermula Mac hingga September memang mencabar. Kejayaan kami terletak kepada tiga kunci utama iaitu minat, kerjasama dan kepimpinan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Delta World, Isac Saminathan sebelum itu turut menyebut tentang kepentingan peranan penaja terutamanya Perodua yang menyokong dari awal kemajuan PNAGS sehingga menjadi pertandingan golf amatur paling berprestij di Malaysia.

"Kejayaan meneruskan pertandingan ini menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada penaja.

"Kerjasama Perodua, terutamanya, menjadi babak penting melonjak PNAGS ke tahap yang lebih tinggi," kata Saminathan yang juga merupakan Presiden WAGC Malaysia.

20240910_er-1

Johan Gwee akan mengetuai kontinjen Malaysia di kejohanan Final WACG Dunia di Phuket.

Kejohanan PNAGS kali ini menyaksikan pulangan yang lebih lumayan apabila setiap pemenang bagi lima kategori akan mewakili Malaysia bersaing ke kejohanan Final WACG Dunia di Phuket, Thailand bermula 25 Oktober hingga 2 November depan.

Mereka akan bersaing dengan pemain amatur berbakat dari 40 negara, sekali gus membawa misi untuk membuktikan bahawa Malaysia merupakan negara yang mampu melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan golf.

Tiga lapangan golf terbaik Phuket, Red Mountain, Laguna Golf Club, Blue Canyon Golf & Country Club akan menjadi tuan rumah untuk penganjuran akhir tersebut dengan menyaksikan kontinjen Malaysia yang diketuai Johan Gwee (pemenang kategori Medal A) membawa cabaran tersebut bersama Choo Kueh Fong (B Medal), Muhammad Feyyaz Ashaari (C Medal), Sia Chee Kian (D Medal), dan Nazaruddin Moksin (E Medal).

Untuk rekod, PNAGS menarik penyertaan lebih 20,000 pemain golf amatur dari seluruh Malaysia dan luar negara sejak ia mula dipertandingkan.

Kejohanan PNAGS 2024 turut mendapat pengiktirafan Persatuan Golf Malaysia (MGA) dengan sokongan kuat Kementerian Belia dan Sukan serta Tourism Malaysia.

Selain itu, peranan penaja utama seperti Spectrum Outdoor, Volvik, VIN Distribution, Skechers Golf, Iroas Watch, Etika Sdn. Bhd dan Fella Design amat penting dalam menjayakan kejohanan berprestij ini.

Antara penaja lain yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran kejohanan ini termasuk Malaysia Aviation Group (Malaysia Airlines, MASwings, Firefly), Gatorade, Bleu, Wonda Coffee, Sting, IROAS Watch, Hospitality 360, Jakes Charbroil, Le Botanical, Throatsil, Acti-Tape, Munchy's dan Vanakam Malaysia.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram