[VIDEO] 'Isu gol Ismaheel Akinade, perlu ada 'evidence' sebagai rujukan'


  • Podium
  • Isnin, 16 Sep 2024

Tangkap layar memaparkan jaringan Ismaheel Akinade yang seakan-akan melepasi garisan gol dalam kotak penalti. — Facebook

PERLAWANAN minggu ke-10 Liga Super 2024 antara Sabah FC dan Terengganu FC mencetuskan rasa kurang puas hati dalam kalangan penyokong Sang Penyu.

Ia berikutan jaringan yang dicetak oleh pemain import Sang Penyu, Ismaheel Akinade yang membuat percubaan kencang seakan-akan melintas garisan gol dinafikan pengadil Ahmad Zuhaidi Dzulkifli selepas membuat semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Berang dengan keputusan pengadil, 'pemain ke-12' Sang Penyu masing-masing melontarkan pandangan negatif terhadap pengadil di media sosial meskipun sudah merujuk kepada VAR.

BACA LAGI: 'Bola itu dah masuk', penyokong Terengganu berang pengadil tak iktiraf jaringan Akinade

BACA LAGI: [VIDEO] Ada aura macam Ramon Machado, fans Sang Badak 'restu' striker Brazil

Bagaimanapun, tampil menjelaskan isu pengadilan tersebut, pemerhati sukan tanah air berkongsikan pandangan mengenai keputusan kontroversi berkenaan.

"Sekiranya VAR telah dirujuk, mereka sudah pasti akan memberikan ‘footage’ atau ‘evidence’ dari video operation room (VOR) ke ‘broadcast’ untuk ditayangkan di televisyen (TV) sebagai tatapan penonton bagi menjelaskan bahawa bola belum melintasi sepenuhnya garisan gol," katanya.

Beliau menjelaskan lagi, rakaman VAR menunjukkan bahawa bola tidak melepasi garisan gol sekali gus membuktikan bahawa pengadil membuat keputusan betul kerana AR2 tidak berada di tempatnya pada waktu aksi berkenaan terjadi.

"Apa yang pasti AR2 tidak berada pada posisi yang jelas untuk melihat sama ada gol telah melepasi garisan sepenuhnya ataupun tidak.

"Pengadil telah membatalkan gol bermaksud di sini Assistant Referee 2 [AR2] telah memberikan signal yang salah (signal gol) kepadanya," jelas beliau kepada Majoriti.

Katanya, rakaman menunjukkan sama ada gol telah dijaringkan ataupun tidak, perlu ditayang di TV sekiranya live telecast dan di scoreboard sekiranya berada di stadium.

Tambahnya lagi, isu tersebut hanya boleh dijelaskan sekiranya pihak berkenaan tampil memberi pencerahan berserta bukti terhadap insiden itu.

"Saya fikir isu ini hanya akan dapat dijelaskan sekiranya pihak yang berkenaan dapat memberikan ‘evidence’ yang mereka ada sebagai rujukan kepada semua pihak bagi menjernihkan keadaan," kongsinya.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 hasil jaringan Joao Pedro Boeira Duarte dan Akinade. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram