TARIKH 14 September 2024 pastinya akan menjadi detik penting dalam sejarah bola sepak Kuala Lumpur terutamanya buat Paulo Josue.
Bertemu Kedah Darul Aman FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu, Josue memecahkan rekod yang dipegang oleh Fandi Ahmad untuk menjadi penjaring terbanyak skuad Warga Kota sepanjang zaman dalam kemenangan 5-0 buat tuan rumah.
Jaringannya pada minit ke-49 membolehkan pemain naturalisasi kebangsaan itu memperoleh 68 gol untuk KL City sekali gus memintas Fandi yang mempunyai 67 jaringan.
BACA LAGI: Paulo Josue bersuara tanda Mr Kuala Lumpur sudah hilang sabar — Penyokong setia
BACA LAGI: Dirisik Kedah, tapi Mr Kuala Lumpur tetap setia dengan City Boys
Jaringan tersebut merupakan sebahagian daripada lima gol yang dihasilkan KL City dalam kemenangan 5-0 berdepan Kedah yang membawa skuad muda ke ibu negara.
Tiga gol dihasilkan KL City di separuh masa pertama oleh Jovan Motika (min 14), gol sendiri daripada Hazrie Zulhadi(min 23) dan Zhafri Yahya (min 26).
Jaringan bersejarah Josue hadir pada separuh masa kedua dan pemain itu turut menggegar jaring Kedah sebanyak dua kali. Gol keduannya hadir pada minit ke-58.
Ia sekali gus menyaksikan Josue sudah menghasilkan 69 gol buat skuad Warga Kota.
Bagi Kedah pula, ia adalah satu kekalahan yang perit namun bagi penyokong, mereka menganggap perlawanan tersebut sebagai pengalaman berharga buat skuad muda Sang Kenari.
"Terbaik adik-adik skuad bawah 23 tahun. Kami yang berada di stadium bangga dengan semangat hangpa semua," kata penyokong Kedah bernama Jusnaidi Gysc.
"Menang atau kalah tak ada hal, yang penting lawan. Steady raahhh!," ujar Zulhelmy Ilias.
"Terbaik ubi muda, kena polish sikit lagi boleh pergi jauh. Boleh masuk kotak lawan pun kira padu dah," komen Afif Azamudin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram