'Hanya tertunggak sebulan setengah', Pengerusi Perak FC akui saingan liga berehat jejas keuntungan kelab


  • Podium
  • Khamis, 12 Sep 2024

Abdul Azim berkata, Perak FC hanya tertunggak setengah bulan kerana jadual Liga Super yang sedang berehat.

MASALAH kewangan yang menjejaskan gaji pemain dan kakitangan dalam sesebuah kelab bola sepak boleh mematahkan semangat untuk mereka meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.

Selepas Kuala Lumpur City FC (KL City), Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sabah FC dan Sri Pahang FC, kini Perak FC pula dikaitkan dengan dakwaan berdepan masalah tunggakan gaji.

Ia selepas bekas penganalisis prestasi pasukan Perak FC, Muhammad Azim Abdul Rahim mendedahkan bahawa pasukan Utara tanah air itu bukan saja gagal membayar gaji, malah turut culas dalam membuat potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai.

BACA LAGI: Tak sampai 24 jam hilang Reziq Hani ke Jordan, Selangor FC ada muka baharu sertai sesi latihan

BACA LAGI: Ramon Marcote cabar CEO MFL beri nafas baharu, berani eksport pemain tempatan ke Eropah

Tampil menjawab persoalan penyokong Perak tentang dakwaan itu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mengakui ada berlakunya sedikit pelewatan dalam proses membayar gaji pemain dan kakitangan kelab.

Ini kerana tempoh rehat yang panjang sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kantungan kewangan The Bos Gaurus.

"Pasukan mana yang tak ada hutang gaji sekarang ini?

"Tapi kami tidak seteruk pasukan lain, kami mungkin tertunggak dalam sebulan setengah sahaja.

"Tunggakan ini berpunca daripada 'cashflow', kerana masa ini perlawanan banyak tunda sebab 'international break' dan rehat yang lain.

"Jadi pendapatan itu sedikit kurang, yang lain saya tidak mahu komen," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lebih lanjut mengenai isu bekas penganalisis pasukan, Abdul Azim menyangkal dakwaan tidak membayar tunggakan tersebut tetapi pembayaran dibuat sedikit lambat.

"Dia (Perak) bukan tak bayar, tapi lambat sedikit. Bayar itu tetap bayar, cuma kita minta dia (bekas penganalisis pasukan) bersabar sedikit kerana tak ada banyak perlawanan."

Tambahnya lagi, Perak mengeluarkan lebih RM1.5 juta untuk menampung segala kos operasi pasukan setiap bulan dengan berharap penyokong dapat menghadiri ke stadium 'full house' bagi meringankan beban pihak pengurusan.

"Perlawanan sudah tiada tiap minggu, jadi pendapatan itu agak perlahan sikit.

"Tapi apabila jadual liga berlangsung balik, nanti kita akan 'recover' semula kerana keseluruhan pembelanjaan pasukan Perak sebulan lebih kurang RM1.5 juta.

"Lebih kurang kalau penyokong mahu pasukan berbelanja lebih, kena datang stadium.

"Sebab kalau purata harga tiket RM20 dengan 30,000 penyokong hadir ke stadium ia sedikit sebanyak dapat membantu pihak pengurusan," jelasnya lagi.

Sebelum ini tular di media sosial apabila bekas penganalisis prestasi pasukan Perak FC, Muhammad Azim Abdul Rahim medakwa pihak pegurusan gagal membayar gaji, malah turut culas dalam membuat potongan KWSP dan cukai.

Namun tindakan berkongsi di Facebook itu membantu Muhammad Azim membuka mata pihak pengurusan dengan dia memaklumkan bahawa Perak sudah menghubunginya untuk menyelesaikan itu tersebut.

Dalam pada itu, Majoriti juga sudah menghubungi pihak pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu tunggakan gaji pasukan tersebut.

Namun sehingga kini, masih belum ada maklum balas daripada pihak pengurusan Sang Kenari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram