KETIKA ini, segelintir besar kelab Liga Super berdepan isu kewangan yang membuatkan beberapa pasukan hampir 'tutup kedai' kerana tidak dapat lagi menampung kos operasi.
Situasi tersebut boleh dilihat sedang berlaku kepada Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, yang masih bergelut dengan masalah kewangan sehingga menyaksikan ada pemain mengambil tindakan untuk memboikot sesi latihan.
Masalah kewangan yang berlaku itu boleh dikatakan berlaku kerana tidak mengamalkan sikap ‘ukur baju di badan sendiri’ apabila sesetengah pasukan mengikuti gaya kelab elit, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan mengambil pemain import mahal.
BACA LAGI: Ramon Marcote cabar CEO MFL beri nafas baharu, berani eksport pemain tempatan ke Eropah
BACA LAGI: Enam daripada 11 tak senyum, fans Kedah sudah 'predict' awal keputusan lawan KL City
Selain membawa masuk import dengan banyak, mereka mula membawa masuk pemain tempatan yang terlalu dikenali dengan mereka pasti memiliki permintaan gaji tinggi
Situasi terlalu melabur kepada bintang import dan pemain tempatan itu yang memberi kesan kepada masalah kewangan mereka sehingga tiada lagi sumber dana untuk menampung perbelanjaan bagi setiap sesi latihan dan perlawanan.
Jadi, ini membuktikan model operasi yang sudah dilaksanakan skuad Harimau Selatan mustahil untuk dicontohi mana-mana pasukan dengan sumber kewangan tidak kukuh.
Masalah kewangan Kedah difahamkan kian meruncing. — Facebook/KDAFC
Oleh itu, setiap kelab perlu mencari pasukan yang relevan untuk dicontohi, iaitu dari segi sokongan dan tarikan dana bagi memastikan perbelanjaan tidak diumpamakan seperti lebih kuah dari sudu.
Jika dilihat pada situasi sekarang, boleh dikatakan gaya pengurusan Kuching City FC dan Penang FC dilihat paling wajar untuk menjadi ikutan kelab lain selepas musim ini dua pasukan itu tidak pernah dikhabarkan mengalami isu kewangan.
Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga pendekatan dilakukan Harimau Kumbang dan The Cats yang boleh menjadi ikutan kelab Liga Super lain.
1) Tekankan penggunaan pemain tempatan
Adib antara pemain tempatan sedang meningkat naik bersama Harimau Kumbang. — Facebook/PenangFC
Setakat sembilan perlawanan Liga Super musim ini, banyak pemain tempatan dari dua pasukan berkenaan semakin dikenali dengan kemahiran mereka juga sudah diminati para penyokong dan bahkan sudah disedari oleh skuad kebangsaan.
Di Kuching City, pemain seperti pertahanan kanan Kuching City, Jimmy Raymond antara pemain tempatan yang kini sedang menunjukkan perkembangan sangat positif buat pasukan tersebut di pentas domestik.
Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak dilihat bijak menggunakan bakat pemain berusia 28 tahun itu sehingga dia berhasil mengetepikan tonggak lain dan kini sudah tampil dalam kesemua perlawanan Liga Super buat The Cats.
Manakala, Akmal Rizal Ahmad Rakhli pula dilihat berhasil membentuk bakat pemain muda di Penang FC dan antaranya ialah bek kiri, Adib Ra’op. Hasil mendapat peluang beraksi penuh bersama Harimau Kumbang, pemain berusia 24 tahun itu sudah tampil dalam dua aksi skuad kebangsaan.
Selain dua pemain itu, banyak lagi nama tonggak tempatan yang dahulunya kurang dikenali tetapi kini sudah menjadi tumpuan setiap kali perlawanan berlangsung. Ini membuktikan, memberi kepercayaan kepada pemain tempatan boleh mendapat pulangan berbaloi.
2) Ambil import berpengalaman di Liga Super
Kipre (tengah) antara import berpengalaman direkrut Kuching City. — Facebook/KuchingCity
Kunci Penang dan Kuching masih tidak terpalit dengan masalah kewangan pada musim ini apabila mereka bijak merekrut pemain import berpengalaman di Liga Super, yang dilihat masih mampu memberikan impak positif untuk skuad.
Walaupun dalam kalangan pemain import itu sudah agak berusia namun bayaran gaji mereka pasti tidak terlalu mahal jika dibandingkan dengan bintang luar negara yang lebih muda dan sudah mencipta nama di liga lain.
Kem The Cats menyaksikan pasukan Borneo tanah air itu merekrut pemain import berpengalaman Liga Malaysia (Liga M) seperti Jordan Mintah, Kipre Tchetche, Petrus Shitembi, Dechi Marcel dan James Okwuosa. Majoritinya, tiba dengan berstatus ejen bebas.
Penang FC pula yang dari awalnya sudah menegaskan tidak akan berbelanja lebih dalam merekrut pemain import membuktikan kualiti lebih baik daripada kuantiti. Daripada lima import yang dimiliki Penang FC, nama seperti Neto, Richmond Ankrah dan Rafael Vitor antara yang membawa kualiti berbeza.
Melihat situasi di Kedah, skuad Hijau Kuning dari awal sudah mencetuskan kontroversi apabila dikhabarkan menebus kontrak bintang import dari Uzbekistan, Sukhrob Nurullaev sebanyak 100,000 euro (RM513,104) meskipun terpalit masalah kewangan.
3) Jurulatih memahami gaya tempatan
Akmal Rizal dinaikkan pangkat ke skuad senior Penang pada awal musim ini. — Facebook/PenangFC
Satu lagi persamaan Penang dan Kuching City apabila kedua-dua jurulatih baik Aidil Sharin mahupun Akmal Rizal, mereka sememangnya seorang jurulatih yang sudah mengenali secara rapat landskap bola sepak tempatan.
Aidil Sharin bukan nama asing dalam Liga M apabila jurulatih kelahiran Singapura itu pernah menjulang Piala FA dan layak ke pentas akhir Piala Malaysia dalam tahun debutnya dalam Liga Super pada 2019 ketika mengendalikan Kedah.
Manakala, Akmal Rizal pula dikenali sebagai jurulatih yang juga legenda bola sepak tanah air dan berkat pengalaman itu, pendekatan menggunakan pemain muda menjadi rahsia aksi konsisten Harimau Kumbang musim ini.
Kepercayaan yang diberikan Akmal terhadap pemain muda bukanlah satu kejutan kerana jurulatih berusia 42 tahun itu sebelum ini membimbing skuad Piala Presiden Penang dua musim berturut-turut sebelum dinaikkan pangkat pada awal tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram