DEMI mengejar minit permainan yang lebih menjadi punca kenapa bekas pemain Selangor FC, Reziq Bani Hani tergesa-gesa meninggalkan kelab itu.
Disahkan secara rasmi oleh Selangor pada Rabu, Reziq kembali ke negara asalnya iaitu Jordan untuk menyertai salah sebuah kelab ternama negara tersebut iaitu Al-Hussein.
Menurut ejen kepada Reziq iaitu Ali Aldaeffy, pemergian pemain itu adalah kerana ingin mendapatkan lebih banyak minit permainan dan Al-Hussein boleh menawarkan apa dikehendaki pemain itu.
BACA LAGI: Reziq sah tinggalkan Selangor, sertai bekas tonggak Kedah di Jordan
BACA LAGI: Kem Selangor malang lagi, 3 ubi muda jadi taruhan jika Reziq Bani cedera teruk
Malah, Selangor juga dikatakan menerima sejumlah yuran perpindahan hasil pemergian Reziq itu namun ia tidak dinyatakan.
Pemergian Reziq daripada Selangor mencuri tumpuan kerana ia diumumkan oleh media sosial kelab tersebut pada 1 pagi Rabu lalu.
Sejak tiba di Selangor pada awal musim, ketua pasukan skuad bawah 23 tahun (B-23) Jordan itu mempunyai minit permainan terhad dipercayai akibat kecederaan yang dialaminya.
Namun begitu, Reziq berjaya mencuri perhatian penyokong Selangor menerusi persembahan memukaunya sebagai super-sub hingga percaturan tersebut mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan.
Sebagai rekod, Reziq melakukan 10 penampilan bersama-sama Selangor dalam kesemua pertandingan dengan pemain itu cuma sekali beraksi sebagai kesebelasan utama ketika berdepan Kelantan Darul Naim FC.
Musim bola sepak di Jordan baru saja bermula dengan saingan tertinggi negara itu sudah menjalani tiga perlawanan dengan Al-Hussein menduduki tempat ketiga dengan tujuh mata.
Selain kembali beraksi di Jordan, Reziq turut akan bermain dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim ini. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram