Beraksi di Piala Dunia, Saho desak KBS, MSN bantu promosi ragbi sentuh seperti futsal


  • Podium
  • Ahad, 08 Sep 2024

Saho mencadangkan agar KBS dan MSN membantu mempromosikan ragbi sentuh ke tahap yang baharu.

PASTI anda tidak begitu biasa mendengar mengenai ragbi sentuh.

Apa itu ragbi sentuh? Ragbi sentuh merujuk permainan berasal daripada bola sepak ragbi yang mana pemain tidak saling merebut tetapi menyentuh pihak lawan menggunakan tangan pada mana-mana bahagian badan, pakaian atau bola.

Melibatkan pelanggaran atau sentuhan yang minimum serta tidak berbahaya, pertandingan formal yang dikenali sebagai ragbi sentuh itu berkembang dari liga ragbi dan kini wujud sebagai sukan tersendiri.

BACA LAGI: Tak nafi jadi anak tiri, bekas kapten mahu semua positif elak ragbi 'terkubur'

BACA LAGI: Kejohanan Asia Ragbi 2024: Dibelasah Korea Selatan, skuad Bunga Raya tak kibar bendera putih

Walaupun tidak dikenali dalam kalangan peminat sukan tanah air, adakah anda tahu Malaysia mempunyai wakil ragbi sentuh di Piala Dunia pada tahun ini.

Wakil daripada Malaysia menyertai kejohanan Piala Dunia itu tanpa sebarang bantuan daripada pihak kerajaan dan merekodkan keputusan yang sangat baik.

Pasukan kebangsaan ragbi sentuh itu yang menyertai kategori umur atas 40 Tahun mendapat tempat ketiga dalam kejohanan yang diadakan di England pada Julai lalu.

Menerusi pandangan bekas kapten pasukan ragbi negara, Syahir Asraf Rosli, 36, mencadangkan agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) membantu mempromosikan ragbi sentuh ke tahap yang baharu.

"Kalau ikutkan KBS dan MSSM (Majlis Sukan-Sukan Malaysia) ada anjurkan kejohanan ragbi Bawah-12 Tahun (B-12), B-15 dengan B-18.

"Tetapi ragbi sentuh hanya dianjurkan untuk B-12 dan mereka ada berbincang untuk melibatkan MSSM untuk kategori perempuan di masa akan datang.

"Tapi saya nampak dah beberapa tahun ini masih tak mula lagi, masih nak tengok dulu pembangunan sukan itu macam mana.

"Macam ada rasa takut juga, tapi kalau tengok di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor mereka (ragbi sentuh) sedang berkembang mungkin dua atau tiga minggu sekali mereka (pemain ragbi amatur) akan main ragbi sentuh.

"Kalau dari segi sokongan syarikat swasta yang boleh anjurkan kejohanan ragbi sentuh masih boleh kira lagi, jadi memang wajar kalau ada pihak daripada KBS atau MSN membantu mempromosikan sukan ini," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, ragbi sentuh ini juga boleh menjadi medan terbaik untuk pelajar-pelajar ataupun wanita untuk mengenali secara dekat sukan ragbi itu sendiri.

"Ia sesuatu platform atau peringkat pengenalan khususnya penglibatan daripada pelajar-pelajar atau wanita.

"Kerana ragbi mempunyai pelbagai kategori antaranya, ragbi sentuh, X-ragbi, ragbi tujuh sebelah dan 15 sebelah.

"Kalau boleh kita minta KBS adakan satu platform macam sukan-sukan yang baharu lain juga supaya ragbi sentuh boleh berkembang," jelasnya.

Syahir atau lebih dikenali sebagai 'Saho' turut bersimpati dengan pasukan ragbi sentuh negara yang perlu mencari dana sendiri dalam mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Selain itu, Saho juga mahu pihak bertanggungjawab memandang New Zealand yang sudah ada platform profesional untuk ragbi sentuh.

"Baru-baru ini untuk Piala Dunia Ragbi Sentuh saya dengar mereka agak susah untuk bina pasukan dan mencari penajaan.

"Keputusan mereka dalam kejohanan itu sangat cemerlang mendapat tempat ketiga bagi kategori lelaki senior.

"Jadi memang wajar untuk KBS dan MSN memperkenalkan ragbi sentuh ini pada masyarakat.

"Kalau ambil contoh di New Zealand mereka dah profesional, kerana kejohanan ragbi sentuh sangat kompetitif.

"Ragbi sentuh di sana (New Zealand) sudah mula mendapat perhatian penaja-penaja yang besar.

"Cuma dekat Malaysia masih belum ada, kalau ada pun di peringkat-peringkat sekolah sahaja.

"Jadi banyak kebaikan kalau KBS dan MSN memperkenalkan kita ambil contoh dalam bola, mungkin ragbi sentuh ini futsal," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ragbi, Saho, Syahir Asraf Rosli, Ragbi Sentuh