[VIDEO] 'Tengok jawline macam Rizal Ghazali', pemain jersi nombor 3 buat penyokong Selangor berteka-teki


  • Podium
  • Jumaat, 13 Sep 2024

Tangkap layar video daripada penyokong Selangor yang mempercayai Gergasi Merah sudah ada pemain baharu.

SELANGOR FC membuat keputusan mengejutkan apabila melepaskan tonggak import baharu, Reziq Bani Hani ke kelab Jordan, Al-Hussein SC selepas lima bulan bersama Gergasi Merah.

Bagi mendapatkan khidmat Reziq, pihak pengurusan Selangor telah menebus kontrak pemain berusia 22 tahun itu daripada Al-Faisaly SC selepas dia tampil cemerlang dalam Liga Jordan.

Keputusan Selangor untuk menebus kontrak Reziq dianggap berbaloi apabila dia tampil cemerlang membantu serangan Gergasi Merah setiap kali diberikan peluang oleh Nidzam Jamil dalam 10 penampilan terakhirnya.

BACA LAGI: Terengganu FC beri Selangor hari rehat, setuju tangguh perlawanan lepas jumpa kelab Thailand

BACA LAGI: 'Hanya tertunggak sebulan setengah', Pengerusi Perak FC akui saingan liga berehat jejas keuntungan kelab

Dua jaringan dan satu bantuan gol membuktikan keputusan Selangor untuk menebus kontrak Reziq ialah tepat.

Namun begitu, sebelum diberikan peluang oleh Nidzam, Reziq banyak bermula daripada bangku simpanan dan ini mungkin menjadi punca utama pemain itu memilih untuk keluar daripada Selangor.

Dengan usia yang begitu muda, Reziq memerlukan minit permainan tinggi untuk terus dipanggil oleh Jamal Sellami bagi mewakili skuad kebangsaan Jordan bagi kelayakan pusingan ketiga Piala Dunia 2026.

Namun baru-baru ini timbul teka-teki dalam kalangan penyokong setia Merah Kuning selepas melihat video sesi latihan baharu yang dimuat naik oleh pasukan itu.

Umum mengetahui, Nidzam telah memanggil beberapa pemain skuad B-23 Selangor untuk menjalani latihan bersama pemain senior.

Antara bintang muda yang dipanggil oleh Nidzam ialah Abdul Rahman Daud, Harry Danish dan beberapa pemain lain.

WhatsApp Image 2024-09-13 at 10.39.40 AM

Tangkap layar persoalan daripada penyokong mengenai pemain baharu dalam kem Gergasi Merah.

Dakwaan penyokong Selangor mengatakan pemain baharu itu menyarung jersi nombor tiga dan sudah pun melaporkan diri kepada Nidzam.

Malah ada juga yang melakukan spekulasi bahawa pemain itu mirip pertahanan Kedah, Mohd Rizal Ghazali selepas melihat daripada saiz tubuh badannya.

"Rasanya macam pemain baharu, sebab Umar (Eshmurodov) masih belum lapor diri, Khuzaimi (Piee) pun bukan sebab kasut lain kalau tengok vlog latihan Selangor," kata Wan Shafik Noordin.

"Rizal Ghazali rasanya kalau tengok iras-iras dari tepi," ujar Aziq Nabil.

"Tengok 'jawline' pun tahu Rizal Ghazali," jelas Danial Afiq.

"Memang pemain baharu ganti Reziq, dah lama mula latihan dengan Selangor," luah Zulkarnain Dahalan.

Jika benar Rizal merupakan bek baharu Selangor, ia tidak pelik kerana masalah tunggakan gaji yang sedang berlaku dalam kem Kedah Darul Aman FC (KDA FC) boleh menjadi punca utama pemain itu berhijrah.

Selangor yang juga mempunyai masalah pertahanan seharusnya mendapatkan pemain berpengalaman seperti Rizal kerana Gergasi Merah akan beraksi di pentas Asia.

Sehingga kini masih belum ada pengumuman rasmi daripada kem Selangor berkenaan pengganti baharu Reziq.

Pada Jumaat (13 September), Selangor akan melayani kunjungan Kuching City FC dalam perlawanan Liga Super minggu ke-10 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan misi bawa pulang tiga mata penuh untuk memperkukuhkan kedudukan tempat kedua liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram