PASTI anda tidak biasa mendengar mengenai ragbi sentuh.
Apa itu ragbi sentuh? Ragbi sentuh merujuk permainan berasal daripada bola sepak ragbi yang mana pemain tidak saling merebut tetapi menyentuh pihak lawan menggunakan tangan pada mana-mana bahagian badan, pakaian atau bola.
Melibatkan pelanggaran atau sentuhan yang minimum serta tidak berbahaya, pertandingan formal yang dikenali sebagai ragbi sentuh itu berkembang dari liga ragbi dan kini wujud sebagai sukan tersendiri.
Tambahan pula, permainan ragbi sentuh dimainkan sebagai aktiviti latihan bagi liga dan kesatuan ragbi sebagai kelainan kepada ragbi yang lebih selamat, terutamanya di sekolah dan kelab junior, dan sebagai sukan sosial bukan formal.
BACA LAGI: 'Ref botak is back', Zulkarnain Zakaria turun padang panas badan jadi pengadil pramusim
Pasukan ragbi sentuh SK Bukit Paloh Kluang.
Disebabkan ragbi sentuh tidak lasak seperti sukan asalnya, aktiviti itu mula mendapat perhatian dalam kalangan akar umbi terutamanya di negara ini.
Jurulatih dan penolong ragbi daerah Kluang, Asyahari Omar, 39, berkata, ragbi sentuh sangat bagus di peringkat akar umbi sebagai permulaan fasa lasak.
"Ragbi sentuh lebih selamat dimainkan untuk peringkat kanak-kanak sekolah rendah kerana ia lebih selamat dan sesuai sebagai permulaan sebelum masuk fasa lasak.
"Di peringkat sekolah ragbi sentuh yang dimainkan di sekolah rendah ialah Ragbi Rimau.
"Impak positif ragbi sentuh adalah dari segi asas permainannya sesuai dan selamat untuk pemula bagi golongan akar umbi sebelum masuk ke ragbi 'tackle'," katanya kepada Majoriti.
Ragbi sentuh turut dimainkan oleh murid perempuan.
Tambahnya lagi, ragbi sentuh kini mula mendapat sambutan hangat dalam kalangan ibu bapa dan berharap sukan itu dapat diperluaskan di peringkat umur yang lebih dewasa.
"Ya, ragbi sentuh kini sangat mendapat sambutan dari ibu bapa.
"Ramai ibu bapa memberi galakan kepada pelajar menyertai sukan ini kerana banyak impak positif kepada anak mereka sendiri, dari segi disiplin, sahsiah, kepimpinan.
"Di Kuala Lumpur banyak ibu bapa yang menghantar anak-anak ke kelab seperti Cobra, KL Tiger, R4K Academy.
"Saya berharap kejohanan ragbi sentuh sering diadakan dan sentiasa menerangkan konsep permainan ragbi sentuh supaya orang dewasa lebih memahaminya.
"Setakat ini belum ada pasukan kebangsaan untuk ragbi sentuh dan yang ada di peringkat antarabangsa ialah FIT TOUCH," jelasnya.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Jika saya cakap, boleh jadi panas', hubungan Salah-Klopp ibarat retak menunggu belah?
Antara aksi pemain cilik dalam kejohanan ragbi sentuh.
Pandangan sebagai seorang jurulatih, Asyahari berasakan ragbi sentuh memberikan banyak kebaikan kepada pemain terutamanya murid sekolah rendah.
"Antara kebaikan ragbi sentuh ialah dapat meningkatkan kelincahan, ketangkasan, IQ (intelligence quotient) dan komunikasi setiap pemain.
"Pendedahan awal bermain ragbi sentuh dari peringkat sekolah rendah juga sangat membantu, pemain ini boleh diserapkan ke sekolah projek ragbi negeri, sekolah berasrama penuh yang cemerlang sukan dan akademik, sekolah sukan, banyak program ragbi di semua negeri.
"Apabila masuk ke sekolah menengah pelajar ini dapat mengadaptasi dari ragbi sentuh ke ragbi fizikal.
"Lebih kepada latihan larian dan hantaran bola.
"Harapan saya ialah mahu melihat lebih ramai lagi rakyat Malaysia menceburi bidang ragbi sentuh ini dan berharap agar sukan ragbi sentuh ini popular setanding sukan bola sepak," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram