MASALAH kewangan jelas memberi tamparan hebat kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan mereka kini terpaksa bersedia dengan pemergian tonggak pasukan.
Sebelum ini, nama Kalamullah Al-Hafiz yang merupakan penjaga gol utama disebut-sebut akan meninggalkan skuad Sang Kenari selepas semusim setengah di kelab itu.
Namun, baru-baru ini, timbul pula perkhabaran pemain tengah mereka, Habib Haroon sudah memilih untuk pulang ke negara kelahirannya, Bahrain bagi menyertai Sitra Club.
BACA LAGI: 'Carilah kelab lebih baik,' kepak Kenari akur jika benar Kalamullah, Rizal tinggalkan Kedah
BACA LAGI: Kepak Sang Kenari tak salahkan Habib, sebaliknya Kedah yang tak pernah serik
Habib Haroon dilaporkan sudah menyertai Sitra Club di Liga Perdana Bahrain. — Facebook/KDA FC
Kedua-dua khabar angin berkenaan menimbulkan persepsi bahawa skuad Sang Kenari sekali lagi bergelut dari segi kewangan sehingga mendesak mereka berbuat demikian.
Sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku, terdapat kemungkinan besar Habib dan Kalamullah hanya permulaan kepada penghijrahan pemain secara besar-besaran dari kelab Utara tanah air tersebut.
Ini kerana pasukan-pasukan, terutamanya dalam Liga Super bersedia untuk menyambar tonggak Sang Kenari dengan jendela perpindahan kedua sudah dibuka.
Melihat kepada skuad KDA FC ketika ini, terdapat tiga pemain yang bersedia untuk 'angkat kaki' dengan destinasi sudah tersedia buat mereka bertiga.
1. Rizal Ghazali (KDN FC)
Ketika ini, terdapat laporan Kelantan Darul Naim (KDN) FC merupakan antara kelab berminat untuk menerima pemain Kedah sekiranya pihak atasan tidak dapat menguruskan pasukan dengan baik.
Antara sasaran utama skuad Kijang Emas pastinya Rizal Ghazali memandangkan benteng pertahanan mereka terlalu mudah dibolosi dalam Liga Super setakat ini.
Pengalaman Rizal sepanjang bertahun-tahun bergelar pemain senior sudah tentu diharapkan dapat mengukuhkan lagi benteng pasukan yang sudah melepaskan 18 gol setakat ini.
Kebolehan dan pengalaman Rizal amat diperlukan skuad Kijang Emas. — Facebook/KDA FC
Jadi, sekiranya pemain berusia 31 tahun berkenaan dapat ditandatangani, perubahan segera sudah tentu dapat disaksikan buat kelab Pantai Timur tersebut.
Selain itu, kebolehan Rizal untuk membantu dari segi serangan juga amat dimahukan KDN FC yang masih mencari-cari rentak terbaik dalam arena bola sepak tanah air ketika ini.
2. Hasbullah Abu Bakar (Negeri Sembilan FC)
Perbezaan ketara dapat disaksikan dalam kem Negeri Sembilan FC musim ini apabila mereka tidak lagi berdepan isu tunggakan gaji yang pernah menghantui pasukan berkenaan sepanjang 2023.
Bagaimanapun, masalah berbeza pula dirasakan kerana skuad Jang kelihatan amat bergelut untuk menampilkan persembahan terbaik sehingga menyaksikan mereka berada di kedudukan ke-13 Liga Super.
Jadi, perubahan segera perlu diterapkan Azzmi Aziz terhadap pasukannya dengan pembukaan jendela perpindahan kedua dilihat sebagai peluang terbaik untuk melakukan rombakan.
Hasbullah sudah tentu terbuka untuk pulang ke Negeri Sembilan FC. — Facebook/KDA FC
Kekangan bajet dihadapi pasukan itu pasti mendesak mereka membawa masuk pemain tempatan yang kurang dikenali dengan Hasbullah Abu Bakar yang kini beraksi di KDA FC merupakan contoh terbaik.
Pemain berusia 29 tahun tersebut sudah tentu tertarik dengan kepulangan ke Negeri Sembilan FC yang pernah menagih baktinya selama dua musim bermula 2023.
Tetapi, terdapat kemungkinan Hasbullah sendiri enggan pulang kerana khidmatnya semakin kerap ditagih Nafuzi Zain dengan beberapa gol sudah direkodkannya.
3. Milos Gordic (Sri Pahang FC)
Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan kos penggajian pemain adalah dengan menyingkirkan import memandangkan permintaan gaji mereka adalah lebih tinggi berbanding pemain tempatan.
Tetapi, sekiranya langkah sedemikian mahu diambil, mereka yang tidak membawa sumbangan signifikan sering menjadi 'mangsa' kerana kelab tidak mahu melakukan pembaziran berterusan.
Dalam konteks KDA FC ketika ini, import yang sering disebut-sebut akan ditunjukkan jalan keluar ialah penyerang dari Serbia, Milos Gordic yang bergelut di hadapan pintu gol.
Gordic tidak membawa sebarang sumbangan berbaloi buat skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Meskipun pernah mencetak hatrik dalam Piala FA, pemain bertubuh sasa itu masih belum mencetak sebarang jaringan dalam Liga Super dengan hanya satu bantuan jaringan direkodkan.
Pulangan mengecewakan itu sudah tentu akan menyaksikan Milos meninggalkan skuad Sang Kenari dalam masa terdekat dengan Kedah pasti akan mencari pengganti segera.
Namun, adalah sukar untuk menentukan kelab akan disertainya, tetapi Sri Pahang FC sudah tentu bersedia untuk menyambar kerana kelab itu turut memerlukan seorang penyerang baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram