Belum boleh selesa terpilih sertai NJDP, pemain kena buktikan mereka terbaik antara yang terbaik


  • Podium
  • Sabtu, 14 Sep 2024

Fauzi (kiri) menegaskan yang pemain terbaik saja akan dihantar ke kejohanan besar luar negara.

MASA depan golf negara berada dalam landasan yang baik untuk terus menghasilkan bintang-bintang cemerlang di masa depan.

Pembentukan Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) membuktikan komitmen Persatuan Golf Malaysia (MGA) bagi menghasilkan bintang golf negara.

Rekrut untuk NJDP 2024 menyaksikan 28 pemain dipilih dengan mereka akan diberikan latihan dan pendedahan secukupnya menerusi penyertaan dalam pelbagai pertandingan.

BACA LAGI: 28 pemain golf diserap ke NJDP, jadi potensi bintang masa depan Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ibu bapa saya mungkin dah habiskan berjuta', Alya Afza harap ada penaja bantu gapai cita-cita jadi pemain profesional

photo_2024-09-14_13-42-19

Seramai 28 pemain remaja diserap ke program NJDP bagi 2024.

Menurut Pengerusi NJDP, Fauzi Mesran, setiap pemain yang diserap ke dalam NJDP akan diberikan pendedahan beraksi dalam pertandingan tempatan serta antarabangsa.

Namun begitu, pemilihan akan dilakukan berdasarkan merit sebelum menentukan siapakah yang lebih layak dihantar beraksi di satu-satu pertandingan terutamanya di luar negara.

"Untuk perkara ini, kita akan lihat sama ada pertandingan itu adalah kejohanan besar atau kejohanan biasa sahaja.

"Jika pertandingan itu adalah kejohanan besar, kita akan hantar pemain-pemain yang benar-benar bersedia untuk bertanding dan menyasarkan untuk membawa pulang kejuaraan.

"Tetapi bagi kejohanan biasa, ia lebih tertumpu kepada pendedahan dan kita menyasarkan untuk pemain mencari pengalaman," kata Fauzi kepada Majoriti.

Melihat kepada kejayaan NJDP menghasilkan ramai pemain golf remaja berbakat, Fauzi mengatakan yang MGA dalam perancangan mewujudkan program serupa bagi pemain amatur yang melebihi had umur.

Untuk rekod, had umur bagi NJDP adalah pada usia 18 tahun dan apabila satu-satu pemain berusia 19 tahun, mereka sering tiada arah tuju dan bimbingan untuk meneruskan karier.

"Pada 2025, akan ada beberapa pemain dalam NJDP sudah akan berusia 19 tahun dan meninggalkan pasukan. Oleh itu, kami merancang untuk mengadakan pasukan elit amatur kebangsaan untuk menjadi kesinambungan buat mereka.

"Ia dapat membantu mereka untuk naik sedikit demi sedikit daripada seorang pemain remaja, kepada pemain amatur dan seterusnya menjadi profesional. Cadangnya kami nak buat pada bulan Februari atau Mac 2025 tapi bergantung kepada keputusan exco MGA," ulasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram