Kurangnya pertandingan jejaskan pembangunan atlet paralimpik di akar umbi


  • Sukan
  • Sabtu, 14 Sep 2024

Pembangunan atlet paralimpik di peringkat akar umbi sukar berlaku kerana kekurangan pertandingan.

PERSEMBAHAN atlet paralimpik Malaysia di peringkat antarabangsa jarang mengecewakan. Hasilnya dapat dilihat apabila kontinjen negara merangkul lima pingat dalam Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis.

Dua daripada lima pingat itu adalah kilauan emas yang jelas memberikan kegembiraan buat seluruh rakyat Malaysia. Namun begitu, adakah akan ada kesinambungan terhadap perkara itu?

Jika atlet paralimpik di arus perdana memberikan kejayaan kepada hari ini, adakah ia dapat diteruskan pada masa hadapan menerusi muka-muka baharu?

BACA LAGI: Emas Paralimpik Paris bukan yang terakhir buat Liek Hou

BACA LAGI: Dibelenggu kecederaan lama, lompatan terakhir bantu Latif Romly raih perak Paralimpik Paris

Di saat kita bergembira dengan kejayaan dihasilkan oleh atlet paralimpik kita di medan tertinggi, terdapat kerisauan yang masih belum diselesaikan.

Kerisauan tersebut adalah kekurangan platform atau pertandingan mencukupi bagi atlet pelapis paralimpik di negara kita bagi mengasah bakat.

Bagi Pengarah Jabatan Belia dan Selangor, Azura Sarbin, platform untuk atlet pelapis paralimpik itu sudah ada namun begitu jumlahnya masih kecil.

Jumlah pertandingan yang sedikit membuatkan mereka sukar untuk menyerlahkan bakat mereka dan proses pengesanan bakat juga berjalan perlahan.

"Kalau kita nak lahirkan bakat-bakat baru ni, memang tak cukup. Tapi setidak-tidaknya, kita ada platform, kita ada ruang, kita ada peluang.

"Tapi kita masih perlukan sokongan. Sokongan itu datang daripada Majlis Sukan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan negeri untuk pastikan kebajikan atlet dapat dijaga," kata Azura kepada Majoriti.

459327028_828121912828436_7081719677970664838_n

Kekurangan pertandingan menjadi punca sukarnya pembangunan atlet paralimpik berlaku.

Tambah Azura lagi, jumlah pertandingan yang sedikit membuatkan mereka sukar untuk menyerlahkan bakat mereka dan proses pengesanan bakat juga berjalan perlahan.

"Isu dia sekarang, bakat itu ada, tapi untuk mereka konsisten (bertanding), kami tidak ada. Kami tidak ada sistem sokongan yang baik.

"Kami sendiri tidak mempunyai dana yang khusus untuk pembentukan atlet kelainan upaya. Kami turut tidak mempunyai jurulatih untuk menilai mereka.

"Kami juga tidak ada pertandingan tambahan untuk melihat konsistensi seorang atlet. Mereka nak berlatih pun perlu keluarkan duit sendiri. Jadi ia agak sukar," jelas Azura.

Masa depan atlet paralimpik di Malaysia terletak kepada pembangunan akar umbinya. Sekiranya pihak berwajib tidak memberikan perhatian sepatutnya, mungkin generasi emas yang diterajui Datuk Latif Romly, Ziyad Zolkefli dan Bonnie Bunyau Gustin tidak bersambung.

Potensi untuk Malaysia menjadi kuasa paralimpik itu ada, tetapi pembangunan yang tepat seharusnya dilakukan oleh semua pihak bagi memastikan ia berjaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram