HASRAT jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly, untuk melengkapkan hatrik emas dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) tidak tercapai selepas beliau berada di kedudukan dua terbaik sekali gus membawa pulang pingat perak di Sukan Paralimpik Paris 2024 pada awal pagi Ahad.
Latif Romly pada awalnya dilihat hampir mempertahankan emas yang dimenanginya di Rio 2016 dan Tokyo 2020 dengan catatan terbaik 7.45 meter (m) pada percubaan ketiga.
Namun, lompatan akhir, Matvei Iakushev yang bertanding atas tiket Atlet Paralimpik Neutral dengan catatan 7.51m mengecewakan Latif Romly, 27, yang gagal mengekalkan rentak apabila baki tiga percubaan akhirnya dibatalkan dalam aksi di Stade de France.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Atlet Colombia, Jhon Sebastian Obando Asprilla melengkapkan kedudukan podium dengan gangsa menerusi lompatan terbaik 7.38m yang hadir pada percubaan keduanya.
Dalam pada itu, berdasarkan laporan media, Latif Romly mendedahkan kecederaan otot perut di bahagian kiri sejak Rabu lepas menjejaskan momentumnya untuk memburu emas tersebut.
Katanya, beliau mula mengesan kecederaan tersebut sewaktu menjalani latihan di Paris sehingga mengakibatkannya sukar bernafas sewaktu membuat lompatan sepanjang aksi di Stade de France.
Atlet berusia 27 tahun itu berkata, kecederaan itu sedikit sebanyak menjejaskan keyakinannya selepas menyedari Iakushev berkemampuan memberi tentangan sengit kepadanya di Paris 2024 selepas lawannya menduduki ranking pertama tahun ini.
Pencapaian Latif Romly menyaksikan Malaysia menambah satu lagi perak selepas rakan sepasukannya, Muhammad Ziyad Zolkefli menghadiahkan perak dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).
Malaysia sebelum ini sudah memperoleh dua emas menerusi jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin bagi kategori lelaki 72 kilogram (kg).
Seorang lagi atlet olahraga para negara Eddy Bernard menyumbang gangsa dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram