ATLET para badminton, Cheah Liek Hou meluahkan penghargaannya terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) atas sokongan selain menegaskan kejayaan meraih pingat emas di Paralimpik Paris bukanlah penamat bagi kariernya.
Meskipun kini sudah berusia 36 tahun, pemain berkenaan mengakui masih mendahagakan kejayaan dan akan terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
"Pada saya, MSN merupakan pihak yang paling banyak memberikan saya bantuan, begitu juga Institut Sukan Negara kerana mereka dapat memenuhi segala keperluan kami.
"Kami juga diberi kebenaran untuk menggunakan gelanggang futsal di MSN bagi tujuan latihan untuk tempoh sebulan setengah," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
BACA LAGI: PM Anwar-Ahmad Zahid ucap tahniah kejayaan Liek Hou di Paris
BACA LAGI: 'Smash' padu Cheah Liek Hou tuai emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik 2024
Liek Hou yang merupakan juara dunia sebanyak lapan kali turut berharap kesemua pihak dapat bekerjasama untuk menaikkan lagi standard sukan dalam negara sambil menegaskan konflik yang berlaku tidak akan membawa sebarang manfaat.
Liek Hou (tengah) tiba di KLIA bersama atlet para lain yang tiba dari Paris.
"Pada saya, kita tidak sepatutnya membenarkan sebarang isu timbul kerana sebagai atlet, kami mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap misi dan sasaran yang sudah ditetapkan.
"Sekiranya kita tidak dapat meraih keputusan positif, kenapa tidak mengekalkan sahaja program yang sedia ada atau duduk berbincang dalam usaha mencari jalan terbaik," katanya.
Sebelum ini, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin berkata, MSN juga perlu dipersalahkan atas kegagalan kontinjen Paralimpik mencapai sasaran empat pingat emas yang ditetapkan.
Ini kerana pada temasya baru-baru ini, pasukan negara hanya meraih dua emas menerusi Liek Hou dan atlet angkat berat, Bonnie Bunyau Gustin selain turut membawa pulang dua perak dan satu gangsa.
Dalam pada itu, Liek Hou berkata, sasarannya kini diletakkan untuk memberikan persembahan terbaik pada Sukan Para Asian 2026 yang bakal diadakan di Aichi-Nagoya, Jepun.
"Masih ada tempoh empat tahun sebelum temasya Paralimpik Los Angeles 2028 dan saya juga tidak tahu apa yang akan terjadi pada saya ketika itu. Jadi, apa yang penting adalah saya terus fokus tahun demi tahun.
"Sekiranya keadaan saya masih mengizinkan, saya mahu terus memecahkan rekod dan mencipta sejarah dalam sukan para badminton," katanya. — The Star/LIM TEIK HUAT
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram