MASALAH isu tunggakan gaji melibatkan kelab Lembah Klang, Kuala Lumpur City FC (KL City) ibarat rahsia terbuka, tapi entah macam mana, pengurusan tidak mengetahuinya.
Bulan silih berganti, namun begitu, tiada sebarang perubahan malah ia menjadi lebih teruk. Dek kerana isu melibatkan pihak atasan, pemain menjadi mangsa.
Semakin lama, kesabaran mula menipis. Akhirnya kapten KL City, Paulo Josue bersuara selepas tujuh bulan dia tidak memperoleh gaji.
BACA LAGI: Dalam minggu ini, selesailah gaji mereka — Pemangku Presiden KLFA
BACA LAGI: Isu gaji KL City: 'Duit bukannya tak ada, tapi tak nak release' — Khalid Samad
Bagi penyokong setia KL City, Nizam Archibald, dia amat memahami tindakan yang dilakukan oleh Mr Kuala Lumpur tersebut.
Bercakap kepada Majoriti, Nizam mengatakan tindakan Josue itu menandakan pemain tersebut sudah hilang sabar dengan isu tunggakan gaji.
Masalah gaji di KL City semakin hari semakin teruk. — Kuala Lumpur City
"Saya sebagai penyokong KL City, kita sudah tahu mengenai masalah ini. Tapi masalah ini sudah sampai kemuncak apabila kapten dan pemain kedua paling lama dalam pasukan selepas Zhafri Yahya sudah mula bersuara, maknanya perkara ini sudah sampai ke tahap kemuncak.
"Sebelum ini, kita tak ada dengar apa-apa kenyataan daripada Josue. Maksudnya, dia pun sudah tidak sabar, tidak tahan, jadi dia pun bersuara. Perkara ini buat saya risau.
"Mungkin selama ini, bila ada masalah (gaji) teruk, ada janji-janji yang kata ia boleh diselesaikan. Mungkin sebab itu dia tidak bersuara, kerana ada yang minta dia tidak bersuara kerana masalah itu sedang diselesaikan.
"Tapi sekarang apabila dia sudah bersuara, maksudnya dia sudah tak nampak jalan penyelesaian. Itu yang sangat merisaukan, pemain-pemain yang sudah lama, macam Josue sendiri yang digelar Mr Kuala Lumpur, bila dia sudah bersuara maknanya ia sangat-sangat merisaukan," kata Nizam.
Melihat kepada situasi sukar dihadapi skuad Warga Kota, Nizam berkata ia menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk menyelesaikannya.
KL City mencipta kejayaan merangkul Piala Malaysia pada 2021 tanpa sebarang isu gaji.
Namun begitu, apa yang terlihat di pandangan penyokong setia KL City itu, hanyalah pihak pengurusan cuma mencari alasan untuk menyelamatkan diri masing-masing.
"Jelas sekali, dalam keadaan sekarang yang berlaku kepada KL City, pengurusan yang perlu selesaikan. Cuma setakat ini, daripada yang saya tengok, sekarang semua sedang mencari alasan bukan penyelesaian.
"Semua nak lepaskan tekak masing-masing. Dia jadi 'bukan salah aku', 'aku tak tahu pun ada masalah gaji', 'duit ni sangkut sebab dia', jadinya saya tak nampak penyelesaiannya di mana.
"Kalau diikutkan, kita sudah tahu permasalahannya siapa yang boleh selesaikan. Masalahnya, orang-orang berjawatan ini tidak mahu duduk sama dan fikir apa nak buat. Selagi masing-masing menuding jari tanpa fikirkan penyelesaian, tak akan selesai," ujar Nizam.
Jangan lupa saksikan Duduk Sembang episod 10 dengan membincang mengenai topik Derbi Lembah Klang, isu gaji KL City dan banyak lagi di laman Facebook dan TikTok Majoriti pada 12 Julai (Jumaat) bermula 8.30 malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram