MENJADI pemain kebangsaan yang berkualiti pastinya akan meningkatkan nilai pasaran mereka. Sudah pasti, setiap kali tibanya masa jendela perpindahan dibuka, akan ada pasukan yang mahu mendapatkannya.
Itulah yang terjadi buat pemain Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue yang masih lagi menjadi buruan walaupun kesetiaannya tidak pernah pudar.
Pemain yang dianggap sebagai Mr Kuala Lumpur itu dirisik oleh beberapa pasukan Liga Super bagi musim 2024/2025. Namun begitu, dia dikatakan tetap setia untuk bersama kelab Lembah Klang itu.
Memetik siaran dari pemerhati sukan, Faizal Bazari di laman X (Twitter), Josue tidak merancang untuk meninggalkan KL City walaupun pasukan tersebut sedang terpalit dengan isu tunggakan gaji selama empat bulan.
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya kerana pengulas, seluruh fans Indonesia mula jatuh hati dengan Malaysia
Khidmat Josue (kanan) diburu beberapa kelab Liga Super. — FAM
BACA LAGI: Tugas di Qatar selesai, 3 watak baharu harus digilap demi misi ke Piala Asia 2027
Walaupun gaji tidak dibayar, namun rasa sayangnya terhadap KL City membuatkan Josue tidak mahu ke mana-mana dan ingin terus membantu pasukan Lembah Klang itu meraih kejayaan.
Ditambah pula dengan rakan sepasukan yang merupakan pemain pertahanan, Giancarlo Gallifuoco juga bersedia untuk terus setia bersama-sama KL City pada musim baharu kelak.
Pemain pertahanan dari Australia itu akan terus bersama-sama skuad kendalian Nenad Bacina kerana kontraknya akan tamat pada 2025.
Dalam pada itu, Josue turut tidak menafikan yang dia sudah didekati oleh beberapa pasukan Liga Super yang mengintai khidmatnya pada musim depan. Salah satu pasukan tersebut adalah Kedah Darul Aman FC.
Menurut Josue, pengendali Kedah, Nafuzi Zain dikatakan cuba membawa pemain tersebut ke Stadium Darul Aman bagi menguatkan bahagian tengah yang kini rapuh akibat kekurangan pemain berkualiti di posisi tersebut.
Akan tetapi, demi kerana cintanya yang kuat terhadap KL City, dia memilih untuk tidak mahu meninggalkan pasukan tersebut walaupun dihimpit masalah gaji.
Josue dijangka akan terus kekal di KL City dan memainkan peranannya sebagai ketua pasukan untuk membolehkan skuad Warga Kota terus mencabar dalam saingan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram