Kuching City ikut resipi Penang, kelab dari Pahang dan Selangor ukir sejarah menongkah ramalan awal Liga Super


  • Podium
  • Jumaat, 13 Sep 2024

Skuad The Cats tidak berdepan sebarang masalah untuk mencatatkan keputusan mengejutkan musim ini. — Facebook/Kuching City FC

SIAPA sangka, memasuki pertengahan musim 2024/25, Kuching City FC kelihatan cukup selesa di tangga keempat Liga Super hasil 14 mata yang sudah direkodkan setakat sembilan perlawanan.

Pasukan yang amat bergelut sepanjang tahun lalu itu membuktikan perubahan dengan meraih keputusan positif dengan hanya satu kekalahan dialami setakat ini.

Kedudukan itu sudah tentu amat mengejutkan memandangkan kelab Borneo tersebut tidaklah membuat rombakan besar-besaran sepanjang jendela perpindahan lalu.

BACA LAGI: Tukang masak nomad dan resipi kebangkitan Kuching City FC

BACA LAGI: Bukan setakat Mintah-Kipre, Penang harus waspada kualiti Danial Amier lawan Kuching City

457042276_527691959652792_3990787080353979199_n

Skuad The Cats berada di kedudukan keempat selepas sembilan perlawanan.

Selain itu, kem pramusim mereka juga tidak terlalu meriah sekiranya hendak dibandingkan dengan pasukan-pasukan Liga Super yang lain dengan hanya beberapa siri perlawanan persahabatan dianjurkan.

Jika ditanya penyokong, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu dapat berada di kedudukan tersebut kerana lawan mereka tidak menjangkakan kebolehan sebenar pasukan, sekali gus memberikan mereka status 'underdog' musim ini.

Tetapi, Kuching City FC bukanlah kelab tanah air pertama yang dapat menampilkan pencapaian sedemikian walaupun tidak mempunyai pasukan serba lengkap berbanding pencabar lain.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga pasukan yang mengejutkan ramai pihak dengan rentetan keputusan positif sehingga menyaksikan mereka berada di kedudukan lebih baik berbanding ramalan awal.

1. Penang FC

Musim 2021 merupakan satu tahun yang cukup epik bagi skuad Harimau Kumbang memandangkan mereka baru sahaja 'naik pangkat' ke Liga Super setelah muncul juara Liga Perdana 2020.

Bagaimanapun, permulaan sedikit kekok dialami kelab Utara tanah air berkenaan apabila isu lesen menyaksikan Tomas Trucha dilantik menjadi ketua jurulatih bagi menggantikan Manzoor Azwira Abd Rahim yang menjadi pembantunya.

Perubahan itu disusuli dengan rombakan besar-besaran terhadap pasukan apabila lambakan pemain baharu disambar seperti David Rowley dari Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Quentin Cheng yang dipinjamkan dari Selangor FC II.

penang-fc

Rombakan pasukan tidak mematahkan semangat skuad Harimau Kumbang.

Namun, pasukan Utara tanah air tersebut tidak mengalami sebarang isu di atas padang dengan keputusan cemerlang direkodkan sejak awal musim meskipun gaya permainan bertahan diterapkan.

Kemenangan ke atas Selangor FC dan Terengganu FC di tempat lawan membuktikan skuad Harimau Kumbang merupakan pasukan kejutan dengan misi besar mula diletakkan pihak pengurusan.

Hasil daripada permulaan cemerlang itu menyaksikan Penang FC menamatkan kempen Liga Super 2021 di tangga ketiga, dua mata di belakang KDA FC yang berjaya mengesahkan slot ke Piala AFC musim berikutnya.

2. PKNS FC

Sekiranya ditanya peminat bola sepak tanah air, mereka sudah tentu sukar melupakan cengkaman PKNS FC satu ketika dahulu, terutamanya pada kempen Liga Super 2018 yang mengejutkan pelbagai pihak.

Pasukan yang berpangkalan di Selangor itu sememangnya diramal sebagai pencabar melihat kepada kualiti pemain serta pengalaman pengendali, Datuk K Rajagobal.

Tetapi, keberadaan skuad Gergasi Merah sebagai kelab terbesar di Lembah Klang menjadikan PKNS FC kurang digeruni pencabar lain dengan ia menjadi kelebihan buat mereka.

WhatsApp Image 2024-09-12 at 4.53.15 PM (1)

PKNS FC berada di kelas tersendiri sepanjang musim.

Sinar pasukan itu dapat disaksikan sejak awal kempen Liga Super 2018 setelah kelab berkenaan meraih 10 mata daripada lima perlawanan dengan satu-satunya kekalahan dialami kepada Kedah.

Prestasi cemerlang itu diteruskan dengan mereka mencipta kejutan demi kejutan, termasuk mencatatkan keputusan seri 0-0 ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di laman sendiri.

Rentetan daripada keputusan memberangsangkan tersebut menyaksikan PKNS FC menduduki tangga ketiga pada penghujung musim Liga Super tahun tersebut dengan hanya satu mata membezakan mereka berbanding Perak FC.

3. Felda United

Selain Sri Pahang FC, Felda United merupakan sebuah lagi pasukan yang berpangkalan di negeri Pantai Timur tersebut dengan kebolehan mereka pernah dijulang satu ketika dahulu.

Manakan tidak, kelab yang pernah memiliki lambakan bintang seperti Francis Forkey Doe, Shukor Adan serta Zah Rahan Krangar itu sering menjadi duri dalam daging kepada pasukan gergasi lain.

Namun, Felda United menjadi skuad yang cukup digeruni pada 2016 apabila mereka menamatkan kempen Liga Super sebagai naib juara, sekali gus menyaksikan mereka layak ke Piala AFC pada musim berikutnya.

WhatsApp Image 2024-09-12 at 4.53.15 PM

Felda United membuat kejutan dengan menamatkan kempen Liga Super 2016 di kedudukan kedua.

Jika melihat kepada pasukan itu, mereka tidaklah memiliki skuad serba lengkap dengan majoriti daripada pemain mereka merupakan anak jati tempatan dengan sebahagian daripadanya kurang berpengalaman di Liga Super.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi batu penghalang buat skuad Felda Fighters untuk meraih kemenangan berharga di bawah kendalian jurulatih ternama tanah air, Irfan Bakti Abu Salim.

Antara prestasi terbaik pernah ditampilkan Felda United pada musim berkenaan adalah apabila mereka tidak mengalami sebarang kekalahan dalam lapan perlawanan yang sekali gus melonjakkan lagi kesungguhan mereka di dalam dan di luar padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram