PENANG FC kembali semula ke landasan kemenangan dalam Liga Super selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN) 3-0 pada 1 Ogos lalu.
Kini, mereka berdepan cabaran lebih getir di tempat lawan apabila bertemu Kuching City FC yang dikenali sebagai suprise package untuk Liga Super pada musim ini.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu berjaya mempamerkan persembahan baik setakat ini dan ia terbukti apabila mereka menduduki kedudukan lima terbaik Liga Super selepas tujuh perlawanan.
BACA LAGI: Rodrigo Dias turut curi tumpuan di malam penampilan ke-100 Rafael Vitor bersama Penang
BACA LAGI: Pra musim tak sehebat Perak atau Kedah tapi Kuching City lebih 'meletup' di Liga Super
Jordan Mintah (tengah) antara watak penting Kuching City musim ini. — Kuching City FC
Melihat kepada perkara itu, ia adalah ketara yang Penang bakal berdepan tugas sukar untuk meraih tiga mata pada aksi yang diadakan Ahad.
Menurut mantan jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin, dia menjangkakan yang perlawanan antara kedua-dua kelab akan menentukan siapa yang dapat meneruskan momentum baik mereka.
Sulaiman yang merupakan bekas pembantu Irfan Bakti di kelab Sarawak itu musim lalu mengatakan, Kuching City dan Penang mempunyai peningkatan dari segi prestasi berbanding sebelum ini.
"Saya melihat perlawanan ini sebagai aksi tumpuan kerana mereka telah menunjukkan peningkatan dari musim lepas. Ia dilihat menarik kerana Kuching City dibarisi ramai pemain berpengalaman di liga kita sementara Penang ditunjangi pemain muda.
"Aksi ini akan menentukan siapa dapat mengekalkan momentum kerana mereka dalam prestasi baik terutamanya Kuching City yang begitu konsisten," kata Sulaiman kepada Majoriti.
Kuching City musim ini cukup berbahaya. — Kuching City FC
Sulaiman menegaskan yang Penang tidak seharusnya menfokuskan kepada gandingan serangan iaitu Jordan Mintah dan Tchetche Kipre semata-mata.
Sebaliknya, Harimau Kumbang perlu waspada beberapa pemain Kuching City yang lain yang dianggap mempunyai ancaman tersendiri.
"Terbukti sekali, Jordan Mintah dan Tchetche Kipre harus diberikan tumpuan kerana jaringan gol yang dihasilkan mereka buat Kuching City. Tapi, Penang perlu juga ambil perhatian pemain lain seperti Danial Amier, Jimmy Raymond dan Petrus Shitembi. Pada saya, mereka bertiga boleh mendatangkan masalah kepada Penang.
"Selain itu, mereka juga ada barisan pertahanan yang diketuai oleh James Okwousa dan Yuki Tanigawa. Oleh itu, Penang memang ada tugas yang sangat berat untuk menghalang mereka kerana barisan serangan Kuching City hanya perlukan sedikit ruang untuk dapatkan gol.
"Saya pasti, Akmal Rizal ada idea untuk mengikat gandingan serangan Kuching daripada terus berleluasa terutamanya bila beraksi di laman sendiri," jelas Sulaiman.
Aidil Sharin merupakan 'mastermind' kepada prestasi baik The Cats musim ini. — Kuching City FC
Sulaiman menjelaskan yang Danial mempunyai kualiti hantaran yang berbahaya terutamanya through ball. Dengan minit permainan diperolehnya bersama Kuching City, dia menjadi salah seorang pemain tengah berkualiti di Liga Super ketika ini.
Bagi Jimmy pula, Sulaiman menganggap larian-larian overlap dilakukannya serta hantaran lintangnya mampu menimbulkan bahaya buat pertahanan Penang sambil Shitembi juga menawarkan kreativiti tambahan di bahagian tengah untuk membantu barisan serangan.
Melihat kepada kelebihan dimiliki Kuching City, Sulaiman menganggap yang The Cats mempunyai kelebihan untuk muncul sebagai pemenang.
Ditambah dengan beraksi di laman sendiri, Sulaiman tidak terkejut sekiranya Kuching City berjaya mengalahkan Penang dalam perlawanan sengit.
"Kelebihan terletak pada Kuching City. Tapi saya tidak boleh menidakkan kemampuan Penang.
"Saya jangkakan Kuching City tiada masalah untuk memenangi perlawanan ini dengan keputusan tipis 2-1," komen Sulaiman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram