Tukang masak nomad dan resipi kebangkitan Kuching City FC


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Aidil Sharin ketika mengendalikan sesi latihan skuad Kuching City FC. — Kuching City FC

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

IA bukan pun sesuatu yang menghairankan jika Aidil Sharin Sahak tidak mendapat reaksi berbeza peminat setahun selepas ketibaannya untuk memikul tugas ketua jurulatih Kuching City FC (KCFC) – barisan yang diangkatnya daripada pasukan belasahan kepada pencabar paling memeranjatkan dalam Liga Malaysia musim 2024/25 setakat ini.

Beransur-ansur meningkat dari awal musim hingga ke tangga keempat dalam carta liga ketika ini, harus ramai yang membayangkan jurulatih berusia 47 tahun itu menjadi tumpuan peminat sama ada ketika keluar berbelanja barang keperluan harian atau makan di restoran makanan laut yang terkenal di sekitar Kuching.

“Saya tidak jadi tumpuan peminat baik ketika mula-mula tiba dahulu atau pada waktu Kuching City meningkat (ke kelompok lima pasukan teratas sekarang). Sebabnya pergerakan saya tiap hari hanya dari rumah ke padang latihan atau ke stadium pada hari perlawanan dan balik ke rumah.

“Rumah saya adalah ofis saya. Selain itu saya tidak keluar rumah. Untuk hantar pakaian ke dobi pun, saya ada seseorang yang menguruskannya,” kongsinya dengan Bola Pegun mengenai hidup bersendiriannya sebagai nomad bola sepak sambil keluarganya terus menetap di Singapura.

Perkelanaan selepas mengendalikan kelab Home United, Singapura (2016-2018) untuk membimbing Kedah Darul Aman (KDA) FC (2019-2022) dan seterusnya Persikabo 1973 (2023) banyak mengajarnya berdikari di tempat orang demi memenuhi tuntutan sebagai jurulatih profesional.

Malah, bukan kecil cabaran dihadapinya kerana ketibaannya di Kuching selepas diumum pada 2 Ogos 2023 menggantikan Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan, adalah pada ketika skuad The Cats tidak menang dalam 17 perlawanan berturut-turut.

WhatsApp Image 2024-08-28 at 19.38.52

Aidill Sharin (kanan) berjaya mengubah Kuching City FC daripada pasukan belasahan kepada skuad yang menjadi pencabar Liga Super pada musim ini. — Kuching City FC

Dia masih mampu mengemudi mereka mara ke final Piala Cabaran – kali pertama Kuching City ke sebarang final — yang dalam laluannya menyingkirkan bekas kelabnya, KDA FC, dengan agregat 4-0 dalam suku akhir dan Kelantan United dengan agregat 3-1 dalam separuh akhir sebelum tunduk dengan agregat 1-4 kepada PDRM FC dalam perebutan trofi.

Sebelum itu ketika menghabiskan empat musim di Alor Setar, Aidil Sharin mengemudi Sang Kenari kepada beberapa catatan bermakna – antaranya juara Piala FA 2019 pada musim pertamanya, naib juara Piala Malaysia 2019 (tewas 0-3 kepada JDT) serta naib juara Liga Super 2020 dan 2021.

“Hidup sebagai seorang jurulatih tidak mudah. Ia jadi sukar dari saat anda bertukar daripada seorang pemain kepada jurulatih. Sebagai pemain, anda berhabis-habisan di padang dan pulang ke rumah untuk tidur. Jurulatih perlu memikirkan perlawanan yang baru selesai dan bimbangkan perlawanan berikut,” sambungnya.

Di Kuching, Aidil Sharin memasak sendiri makanannya. Usah serkap jarang dia kerap mengalas perut dengan mi segera atau memesan melalui GrabFood atau Food Panda, sebaliknya mengutamakan makanan berkhasiat dengan air tangannya.

“Untung juga saya jarang makan nasi tapi lebih kepada pasta dan mi basah yang saya masak dengan pelbagai resipi. Saya boleh memasak berjenis-jenis pasta,” kata jurulatih itu yang memberikan dirinya penarafan 7 daripada 10 terhadap masakannya. Serius.

453592816_18274012720233453_2252542709191298493_n

Selepas sembilan perlawanan, Kuching City FC kini berada di kedudukan empat teratas Liga Super pada musim ini. — Kuching City FC

Adakah buku resipi atau video masakan di YouTube jadi panduannya?

“Oh tidak! Isteri saya pandai memasak dan saya belajar semua daripadanya. Saya bukan bercakap mengenai masakan segera (atau sekadar menggoreng atau merebus telur) tapi masak dengan cara yang lengkap. Selepas bertahun-tahun, saya boleh kata yang saya mampu memasak dengan baik,” jelasnya.

Aidil Sharin bagaimanapun tidak pernah mempelawa kenalan di Kuching untuk merasa air tangannya setakat ini tapi pernah berbuat demikian di Singapura.

“Ya, saya pernah menyajikan masakan saya kepada kawan-kawan di Singapura. Mereka tidak pula ‘komplen’,” katanya.

Barangkali jurulatih itu berpeluang menikmati masakan orang lain setiap kali berkunjung bersama pasukan ke gelanggang lawan dengan sajian di hotel atau ketika pulang menjengah keluarga di Singapura sekali setiap dua bulan.

Aidil Sharin juga tidak membezakan keupayaannya memasak dengan tugas hakikinya membentuk Kuching City FC menjadi pasukan disegani dalam Liga Super.

“Ia lebih kurang sama. Seperti memasak, anda perlu memilih ramuan yang betul, lengkap perisanya dan dimasak secukupnya. Anda perlu terus berusaha memperbaikinya untuk mendapatkan hasil masakan yang baik. Bola sepak juga begitu (kerana ia memerlukan satu proses) dan bukan mengharapkan keputusan segera,” katanya.

455184073_18275445595233453_4929475426929128741_n

Aidil Sharin ketika mengendalikan pasukan Kuching City FC. — Kuching City FC

Ditanya apakah dia jenis yang ‘makan bola dan tidur bola’, ini jawapannya: “Ya, anda boleh kata begitu. Saya fikir mengenai bola sepak dan pasukan sepanjang masa. Saya percaya itu saja caranya untuk menjadi seorang jurulatih yang lebih baik dan memperbaiki prestasi pasukan.”

Hakikat bahawa pasukannya kini hanya di belakang JDT, Selangor FC dan Terengganu FC selepas mengharungi sembilan perlawanan, disimpulkannya kepada kerja keras pemain-pemainnya untuk mencabar diri dan mengatasi jangkaan.

“Semuanya berkisar kepada pemain-pemain, bukan pun mengenai saya, kerana saya hanya seorang jurulatih kerdil,” kata Aidil Sharin yang membina semula pasukan dengan mengekalkan cuma dua pemain dari musim lalu dan membawa masuk ramai bakat tempatan di samping tenaga import pada James Okwuosa, Yuki Tanigawa, Nando Welter, Petrus Shitembi, Kipre Tchetche, Jordan Mintah dan Pedro Henrique.

Dan ia belum lagi senarai lengkap kerana Aidil Sharin berharap untuk memanfaatkan jendela perpindahan kedua yang baru dibuka pada Isnin untuk melakukan beberapa penambahbaikan.

“Kami akan duduk berbincang dengan pihak pengurusan minggu ini. Saya harap boleh dapat tiga pemain lagi kerana ada beberapa bahagian yang perlu diperbaiki, itu pun bergantung kepada kelulusan pengurusan dan bajet pasukan,” katanya lagi.

Sama seperti hasil masakannya, Kuching City FC boleh diyakini hanya akan bertambah baik dan terus memeranjatkan lawan selepas ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram