[VIDEO] 'Hanya Zii Jia boleh buat sebegitu', tindakan JDT kunci mulut mula dibandingkan


  • Podium
  • Sabtu, 24 Ogos 2024

Zii Jia (kiri) juga pernah memberikan jawapan ringkas seperti mana dibuat JDT dalam sesi sidang media pada Jumaat.

SIDANG media praperlawanan yang dibuat Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang aksi menentang Selangor FC di pentas akhir Piala FA masih menjadi bahan bualan sehingga hari ini.

Sesi yang diadakan pada Jumaat di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur berkenaan bermula dengan ketiadaan pengendali, Hector Bidoglio serta kapten pasukan, Jordi Amat.

Mereka digantikan pembantu jurulatih, Jose Lopez dan Junior Estdal yang masing-masing enggan memberi sebarang respons terhadap soalan diajukan pihak media.

BACA LAGI: Piala FA: Nidzam Jamil, Safuwan setuju Selangor underdog berbanding JDT

BACA LAGI: Bekas pemain JDT mahu final Piala FA jadi landasan erat hubungan baik penyokong

Pendekatan berkenaan sememangnya menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan terdapat 1,001 persoalan yang pasti hendak ditujukan kepada juara bertahan itu.

Selain itu, tindakan kelab Selatan tanah air berkenaan mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penyokong yang berasakan mereka tidak menampilkan sikap profesional di sesi tersebut.

Malah, ada pengguna media sosial mula membandingkan perkara berkenaan dengan pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia yang juga pernah menampilkan sikap sedemikian kepada media.

Namun, dengan pemain tersebut berdiri dengan status perseorangan, kelakuan itu masih boleh diterima, lebih-lebih lagi dengan kritikan tidak henti diterimanya dari pelbagai sudut.

"Perkara ini Zii Jia sahaja yang boleh buat. Sekiranya JDT buat, terus nampak aneh," kata Amal Nuts.

"Kalau Zii Jia buat, satu Malaysia akan sokong, ada hati pula mereka hendak tiru," kata Ahmad Sobri.

Sebelum ini, pemenang pingat gangsa Olimpik 2024 itu pernah berkelakuan sedemikian apabila dia sering mengelak daripada menjawab soalan diajukan media.

Tindakan sedemikian dilihat sebagai respons terhadap layanan tidak adil diterimanya, lebih-lebih lagi ketika dia mengalami isu prestasi yang amat merisaukan.

Bagaimanapun, masalah berkenaan jelas tidak mematahkan semangat Zii Jia di dalam gelanggang dengan kejayaan di temasya Olimpik jelas menaikkan semula keyakinannya.

JDT bakal berdepan Selangor FC dalam perlawanan akhir Piala FA 2024 dengan masing-masing memiliki objektif tersendiri untuk muncul sebagai pemenang.

Skuad Harimau Selatan pasti mahu mencipta sejarah dengan muncul sebagai pasukan pertama menjuarainya tiga kali berturut-turut manakala lawan mereka mahu menamatkan penantian 10 tahun untuk menjulang trofi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram