'Kenapa tak boleh eksport pemain?' bekas coach Kedah akui hanya JDT, Selangor serius untuk bola sepak Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 13 Sep 2024

Marcote berpendapat hanya JDT dan Selangor serius untuk membanggunkan bola sepak Malaysia.

"DALAM tempoh tiga tahun saya dekat Malaysia, saya melihat banyak potensi perkembangan sukan bola sepak di negara ini."

Itulah pandangan bekas pembantu ketua jurulatih Selangor FC, Ramon Marcote Pequeno apabila bercakap soal keadaan semasa kancah bola sepak negara tatkala isu tunggakan gaji terus membelenggu kelab-kelab Liga Super.

Dengan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baharu, Giorgio Pompili Rossi, Marcote berharap ia dapat membawa sesuatu yang lebih segar dalam Liga Malaysia (Liga M).

BACA LAGI: Terengganu FC beri Selangor hari rehat, setuju tangguh perlawanan lepas jumpa kelab Thailand

BACA LAGI: 'Hanya tertunggak sebulan setengah', Pengerusi Perak FC akui saingan liga berehat jejas keuntungan kelab

Menurut Marcote, Malaysia dianggarkan mempunyai 34 juta penduduk dan ia lebih banyak daripada negara-negara Eropah lain yang berjaya dalam sukan bola sepak.

Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu juga mahu melihat lebih ramai pemain-pemain tempatan yang berkualiti beraksi di Eropah demi kebaikan skuad Harimau Malaya.

"Malaysia adalah negara dengan 34 juta penduduk, enam kali ganda saiz Croatia, tiga kali ganda saiz Portugal, dan mempunyai populasi yang sama dengan Arab Saudi, kesemuanya adalah kuasa bola sepak yang diiktiraf di Eropah dan Asia.

"Malaysia mempunyai populasi dan semangat cinta akan bola sepak, yang bermaksud ia adalah negara dengan potensi, potensi yang harus dikembangkan dengan cekap untuk menjadi lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

"Telah terbukti bahawa Malaysia adalah negara yang boleh menghasilkan bakat pemain-pemain baharu. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pemain berbakat seperti Arif Aiman, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Faisal Halim telah muncul dalam bola sepak Malaysia.

"Tetapi menghasilkan lapan hingga10 pemain bertaraf tinggi setiap 10 tahun tidak mencukupi untuk pertandingan tempatan ataupun membantu pasukan kebangsaan.

"Beberapa persoalan yang perlu dijawab, mengapa lebih banyak pemain tempatan bertaraf tinggi tidak mahu untuk meningkatkan tahap bola sepak di negara ini?

"Kita perlu cuba menjawab mengapa pemain tempatan ini tidak membuat lonjakan ke kelab Eropah atau kelab bertaraf tinggi di Asia.

"Mengeksport pemain-pemain tempatan akan membuka pintu bola sepak negara kepada seluruh dunia dan akan menghasilkan model peranan yang membuatkan populasi Malaysia lebih jatuh cinta dengan bola sepak tempatan," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, untuk menghasilkan pemain-pemain berkualiti ia memerlukan pelbagai perlaburan daripada setiap sudut.

"Menghasilkan lebih ramai dan pemain yang lebih baik memerlukan pelan strategik yang direka dengan teliti.

"Dengan pelan latihan yang menuntut untuk pemain, dengan jurulatih yang sangat berkelayakan dalam pasukan akar umbi, dengan kemudahan sukan dan peralatan sukan yang berkualiti dan teknologi yang membolehkan pelan ini dikembangkan.

"Ia memerlukan pelaburan dari kelab, pelaburan dalam masa depan. Untuk melabur, kelab-kelab perlu mencari dana dan keuntungan sendiri dan mempunyai kapasiti untuk menarik pelabur besar serta mendapat bantuan dari institusi seperti FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), MFL dan badan-badan lain," ujarnya.

Jelasnya lagi, dalam masa tempoh 10 tahun, dia melihat hanya Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC yang serius untuk membangungkan bola sepak Malaysia.

"Dalam 10 tahun terakhir, satu-satunya kelab yang telah membuat pelaburan jelas dalam aspek ini adalah JDT dan dari situ, bakat yang dihasilkan dari akademi JDT muncul.

"Selangor adalah satu lagi kelab yang telah mula memberikan kepentingan kepada pelaburan dalam kategori akar umbi. Sebaliknya, Malaysia mempunyai beberapa negeri di mana kita tahu bahawa pemain berbakat muncul secara semula jadi, Kedah, Kelantan dan Terengganu adalah contoh yang jelas tentang hal ini.

"Bakat semulajadi ini perlu dilengkapi dengan pelan latihan sistematik dari kelab-kelab. Menjadi profesional perlu lebih daripada sekadar bermain bola sepak yang baik, menjadi profesional melibatkan bakat, usaha, dedikasi, konsistensi, ketekunan, disiplin, kerendahan hati, komitmen, cita-cita, daya saing, dan pengetahuan.

"Jika semua kelab dapat merancang pelan kukuh dalam masa jangka sederhana dan panjang untuk 10 tahun akan datang, saya yakin kita boleh melihat lebih ramai pemain tempatan yang bertaraf tinggi boleh bersaing untuk bermain di posisi utama dalam pasukan mereka yang biasanya diisi oleh pemain import," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram