SEPANJANG jendela perpindahan kali ini, kemasukan dua penjaga gawang baharu ke dalam skuad Harimau Selatan membuktikan mereka mempunyai misi untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan.
Dua pemain tersebut iaitu Andoni Zubiaurre dan Christian Abad menjadi pilihan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan masing-masing berpengalaman dalam arena bola sepak Sepanyol.
Bagaimanapun, timbul juga persoalan mengenai masa depan penjaga gol lain apabila mereka berdua sudah tentu akan menjadi pilihan utama pengendali pasukan, Hector Bidoglio.
BACA LAGI: JDT berbelanja lagi, media Sepanyol dedah Syihan bakal dicabar bekas GK Real Sociedad
BACA LAGI: 'K-pop in the house', bintang baru JDT boleh bantu cipta rekod untuk Syihan
Zubiaurre merupakan salah seorang rekrut baharu skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Ini termasuk status pilihan utama pasukan, Ahmad Syihan Hazmi yang berdepan sedikit penurunan dari segi prestasi selepas dibolosi sebanyak empat kali dalam Liga Super 2024/25.
Meskipun catatan itu lebih baik berbanding pasukan-pasukan lain, standard tinggi diletakkan JDT sudah tentu mengharapkannya untuk beraksi lebih baik, terutamanya dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (AFC) Elite kelak.
Tetapi, kisah berbeza pula didengari apabila timbul khabar angin mengatakan pemain berusia 28 tahun terbabit sudah kehilangan tempat dalam pasukan, apatah lagi sebagai penjaga gol utama.
Ura-ura itu kedengaran selepas Flash Sukan melaporkan tonggak Harimau Malaya itu akan dibenarkan untuk menyertai skuad The Cats dengan status pinjaman pada jendela perpindahan kali ini.
"Penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi difahamkan bakal dipinjamkan ke Kuching City FC selepas beraksi dengan cemerlang di kempen Piala FA dan Pestabola Merdeka baru-baru ini," tulisnya.
Syihan beraksi dengan cemerlang sepanjang dua musim bersama JDT.
Perkhabaran tersebut sudah tentu mengejutkan penyokong skuad Harimau Selatan memandangkan pemain berkenaan menjadi permata dalam barisan pertahanan JDT sejak menyertai mereka pada 2023.
Bagaimanapun, masing-masing jelas tidak mahu mempercayai khabar angin itu sambil menantikan pengesahan daripada pihak pengurusan JDT dan Kuching City FC sendiri.
"Hanya khabar angin sahaja. Kadang-kadang mahu merancakkan perbualan dalam kalangan penyokong. Kalau ikutkan, tidak logik untuk Syihan dipinjamkan kerana dia beraksi dengan cemerlang," kata Zeir Ft.
"Ini baru ura-ura sahaja, jangan kita percaya sangat. Mungkin mereka hanya mahu melariskan kisah sensasi sahaja, walhal laman rasmi kelab masih belum mengeluarkan kenyataan," kata Pemburu Bayangan.
Skuad The Cats berada di tahap berbeza bagi saingan musim ini. — Facebook/Kuching City FC
"Kalau hendak tahu kisah sebenar, tunggu pengumuman rasmi JDT dan bukan daripada pihak lain. Sekali pun JDT mengambil penjaga gol import, Syihan masih pilihan pertama," kata Nor Azmi Abdullah.
Musim lalu, Syihan bersama skuad Harimau Selatan memecahkan rekod Liga Super apabila hanya dibolosi sebanyak tujuh kali dalam 26 aksi secara keseluruhan.
Daripada catatan itu, pemain kelahiran Kelantan tersebut merekodkan 19 'clean sheet' dengan pencapaian itu sudah tentu mengagumkan bagi seorang penjaga gol tempatan.
Sekiranya khabar angin itu tepat, Syihan sudah tentu dapat mengukuhkan lagi kubu Kuching City FC yang dikawal Shahril Saari yang baru sahaja 10 kali dibolosi setakat ini.
Kemasukannya pasti dapat membawa dimensi baharu buat kelab Borneo tanah air itu yang bercita-cita besar untuk berada dalam kelompok tiga pasukan teratas musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram