NAMA pemain import Sabah FC, Saddil Ramdani menjadi perbualan hangat di negara negara jiran selepas dia sekali lagi didakwa bakal dinaturalisasi untuk menjadi pemain bagi mewakili skuad bola sepak Kebangsaan Malaysia.
Desas-desus mengenai perkara tersebut tersebar selepas tular satu tangkap layar tajuk berita di TikTok mendakwa terdapat usaha daripada media di Malaysia meminta supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaturalisasi Saddil untuk menjadi sebahagian daripada skuad Harimau Malaya.
Menurut laporan tular itu, langkah berkenaan boleh diambil memandangkan pemain berasal dari Indonesia itu sudah melepasi syarat naturalisasi iaitu sekurang-sekurangnya menetap di Malaysia sekurang-kurangnya lima tahun.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Untuk rekod, Saddil, 25, mula beraksi di Liga Malaysia sejak 2019 bersama Pahang FC sebelum berhijrah ke kelab Indonesia Bhayangkara pada 2020.
Dia kemudiannya kembali semula ke Liga Malaysia dan menyarung jersi Sabah FC sejak 2021.
Dakwaan yang tular itu bagaimanapun pantas dinafikan dengan sebuah akaun TikTok, bonjr09 menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas.
Saddil ketika menyarung jersi pasukan skuad Indonesia.
Malah, akaun tersebut turut menafikan terdapat sebarang usaha daripada media Malaysia untuk mendesak perkara tersebut.
"Media Malaysia tidak pernah menyatakan begitu. Jangan buat cerita," tulis hantaran tersebut.
Pada masa sama, menurutnya, perkara tersebut juga pernah dinafikan oleh Saddil sendiri selepas beliau sebelum ini dikaitkan dengan berita mengenai penghijrahan bagi mewakili Malaysia.
Dakwaan tersebut bukanlah kali pertama dihadapi oleh Saddil.
Ini kerana pada Julai 2023, beliau turut pernah dikaitkan dengan kemungkinan menjadi sebahagian daripada pemain naturalisasi Malaysia.
Perkara itu timbul selepas selepas penyokong bola sepak Malaysia memuji Saddil yang dilihat begitu bersemangat menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku pada aksi Sabah menewaskan Sri Pahang 3-0 pada Sabtu.
Kefasihan serta semangat yang ditunjukkan Saddil itu membuatkan ramai penyokong domestik menyarankan agar pemain Indonesia itu didaftarkan sebagai tonggak naturalisasi pasukan kebangsaan.
Saddil (kanan) bersama Sabah FC sejak 2021. — Sabah FC
Majoriti pada waktu itu melaporkan, pemain berusia 24 tahun itu tampil menafikan berhubung dakwaan tersebut.
Dalam satu kenyataan, Saddil berkata, beliau bangga menjadi orang Indonesia dan tidak mengubah kewarganegaraannya.
" Saya di sini (Malaysia) hanya mencari sesuap nasi dan dengan berita bahawa saya akan bertukar kewarganegaraan adalah tidak adil untuk dilaporkan. Ini hanya membawa fitnah untuk saya.
"Semoga berita yang selalu memburukkan nama baik dan membuatkan saya dicaci maki oleh warga Indonesia cepat sedar. Semoga berita yang selalu yang merugikan saya akan dimaafkan.
"Tetaplah mencari nafkah yang halal, tidak perlu mencari sesuap nasi dengan menjatuhkan orang lain," ujarnya.
Masa depan Saddil bersama skuad kebangsaan Indonesia terus menjadi tanda tanya dengan dia dilihat tidak dipanggil pada Piala Asia 2023 dan juga aksi Kelayakan Piala Dunia yang sedang berlangsung ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram