PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Shahelmy Yahya menepis dakwaan kononnya pemain sayap Sang Badak, Saddil Ramdani sudah meninggalkan kelab itu.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Jumaat, pihak tersebut menjelaskan tiada kelab lain sudah menghubungi pemain kebangsaan Indonesia itu sambil menegaskan mereka sedang berusaha mencari penyerang baharu.
"Kita meluluskan hasrat untuk menambah seorang pemain import untuk menajamkan jentera serangan. Setakat ini, proses penilaian beberapa profil pemain penyerang dikemukakan ejen sedang dilakukan.
BACA LAGI: Silap 2 kali Sang Badak hadiahkan Selangor kemenangan pertama di tempat lawan
BACA LAGI: [VIDEO] Kelincahan, skil anak kelahiran Sandakan ubati rindu Sang Badak terhadap Saddil
"Berkenaan isu pemain kita Saddil Ramdani yang dikhabarkan akan meninggalkan Sabah FC, setakat ini belum ada kelab yang menghubungi Sabah FC berkenaan perkara tersebut," tulisnya.
Ketika ini, skuad Sang Badak memerlukan seorang penyerang selepas import dari Brazil, Ramon Machado meninggalkan kelab berkenaan sebelum menyertai Araz-Naxcivan PFK di Azerbaijan.
Saddil sudah tidak beraksi untuk skuad Sang Badak dalam beberapa perlawanan. — Facebook/Sabah FC
Kehilangan peledak prolifik itu memberi kesan cukup hebat memandangkan sandaran besar diletakkan kepada Darren Lok untuk mengemudi barisan serangan.
Bagi isu Saddil pula, spekulasi pula timbul berikutan ketiadaan pemain tersebut dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, termasuk dalam aksi Liga Super terbaru menentang Selangor FC.
Pemain sayap berkenaan disebut-sebut akan pulang ke Indonesia dengan beberapa kelab, termasuk Persib Bandung yang dikendalikan Bojan Hodak dikhabarkan berminat dengannya.
Tetapi, kenyataan Sabah FC berkenaan sekali gus memadam ura-ura mengatakan penyerang berkenaan sudah meninggalkan kelab Borneo tanah air tersebut baru-baru ini.
Jadi, misteri berhubung ketiadaannya hanya boleh terjawab sekiranya Saddil tampil memberikan jawapan untuk menjelaskan hal itu, sekali gus mengubati kerinduan penyokong terhadapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram