Jendela perpindahan kedua tawar talian hayat buat Selangor FC?


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Isnin, 26 Ogos 2024

Sebahagian aksi final Piala FA 2024 antara Johor Darul Ta'zim berdepan Selangor FC yang menyaksikan Harimau Selatan berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA bagi musim 2024. — Facebook/MFL

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

KETIKA Selangor FC berkira-kira untuk mengubat luka kekalahan besar dalam final Piala FA, Sabtu lalu, dua kalendar – tempoh rehat antarabangsa sehingga liga domestik bersambung pada 13 September dan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dari 26 Ogos-22 September – harus menawarkan talian hayat buat barisan Gergasi Merah itu.

Boleh diandaikan kecuali Kuala Lumpur (KL) City FC, kesemua 12 pasukan lain – tidak terkecuali Negeri Sembilan FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC yang mengisi dua tangga terbawah liga – sudah pun mempunyai perancangan untuk membuat penggantian pemain import masing-masing.

Cuma KL City dikerah menjadi pemerhati ketika pasukan lain sibuk melakukan tawar-menawar dengan ejen pemain. Skuad The City Boys itu terpaksa akur dengan sekatan perpindahan sebagai hukuman yang dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) gara-gara mengisytiharkan maklumat tidak tepat dalam syarat pelesenan mereka.

BACA LAGI: 'Bola hilang lepas 3 touch', Nidzam perlu 'demand' lebih tuntut pemain rapatkan jurang dengan JDT

BACA LAGI: 'Cukup lama bersama, Nafuzi sepatutnya sudah bersedia kehilangan Habib Haroon'

JDT

Skuad Harimau Selatan berjaya pertahankan kejuaraan Piala FA selepas menewaskan Gergasi merah 6-1. — Facebook/MFL

Setiap pasukan dalam Liga Super boleh mendaftarkan sembilan pemain asing tetapi hanya enam import boleh diturunkan pada satu-satu masa. Enam pemain import mestilah terdiri daripada empat pemain asing, seorang pemain Asia, dan seorang pemain ASEAN. Hanya seorang pemain import boleh berada di bangku simpanan. Kelab yang menyertai ACL Elite, ACL Two dan/atau ACGL dibenarkan mendaftarkan 10 pemain asing.

Setakat ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) – pemilik 28 trofi sejak 2013 dengan tambahan Piala FA yang dimenangi buat kali ketiga berturut-turut hasil kemenangan 6-1 ke atas Selangor FC – dilaporkan paling rancak dalam pasaran perpindahan.

Selepas terdahulu mengumumkan telah menandatangani bek tengah Korea Selatan, Park Jun-heong, dari kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC, Harimau Selatan turut menyenaraikan empat pemain lain – penjaga gol, Christian Abad (skuad B-19 Elche, Sepanyol), Iker Undabarrena Martinez (CD Leganes, Sepanyol), Eddy Israfilov (Neftchi Baku, Azerbaijan) dan Enzo Lombardo (SD Huesca, Sepanyol).

Gerun untuk membayangkan kesan positif yang bakal dibawa pemain berkenaan pada ketika JDT sudah pun tersenarai sebagai kelab terbaik di Asia Tenggara selain di tangga ke-14 di Asia dan ke-317 daripada 13,448 pasukan yang dihimpunkan laman Opta Analyst dari seluruh dunia.

Barangkali pertukaran pemain sudah dianggap satu formaliti apabila membabitkan Harimau Selatan yang membina kekuatan dari tahun ke tahun dalam mengejar sasaran mencapai puncak tertinggi dalam saingan ACL Elite 2024/2025 yang menampilkan 24 kelab terbaik Asia.

Reziq

Reziq (kiri) gagal membantu Selangor menewaskan JDT dalam perlawanan akhir Piala FA. — Facebook/MFL

Sebagai perbandingan, tumpuan jendela perpindahan kedua ini mungkin lebih kepada Selangor FC, yang awal bulan ini mengumumkan mengikat penyerang kebangsaan Jordan, Ali Olwan – melengkapkan trio bersama Noor Al-Rawabdeh dan Reziq Bani Hani dari negara yang sama.

Tidak diketahui apakah nasib penyerang nombor 9, Ronnie Fernandez, selepas ini sama ada dikekalkan atau dilepaskan pergi.

Seusai kekalahan kepada JDT, laman Kelab Penyokong Selangor FC menuntut agar pengurusan mengambil tindakan drastik untuk melakukan perubahan.

“Kekalahan (Sabtu lalu) bukanlah tipis di mana pihak penyokong boleh terima keadaan itu, namun hakikatnya ia terburuk dalam sejarah aksi perlawanan final Selangor FC,” kata laman itu.

Antara lain, Kelab Penyokong Selangor FC beranggapan penggunaan majoriti pemain tempatan di barisan pertahanan tidak masuk akal, lantaran itu perlunya satu atau dua tenaga import untuk lawan ‘body contact’ pemain import pasukan lawan.

“Kenapa Selangor mengeluarkan jumlah besar untuk (import dari Uzbekistan) Umar Eshmurodov sedangkan sudah ada Richmond Ankrah (import dari Ghana dipinjamkan kepada Penang FC) yang muda dan kuat?

“Perlu tandatangani leftback import dengan segera. Tiada lagi pengganti yang bagus dalam skuad Selangor setakat ini. Kenapa leftback? Kerana posisi ini kritikal dan pemain berkaki kiri ini seperti permata tersembunyi dalam bola sepak. Untuk pengambilan import, harus diutamakan leftback dahulu,” tambah laman itu.

Duarte

Sabah FC merekrut penyerang baharu, Joao Pedro Boiera Duarte untuk membantu mempertajamkan jentera serangan The Rhinos. Facebook/Sabahfc

Turut dicadangkan kelab penyokong ialah Youssof Kone, bekas pemain kelab Olympique Lyon selama lima tahun dari Mali, kini berstatus ejen bebas tanpa kelab. Bersama Mali, Kone mendapat tempat ketiga dalam Piala Dunia B-20 pada 2015.

Di sana-sini, Terengganu dilaporkan mengikat khidmat bekas pemain Sukhothai FC dalam Liga 1 Thailand, Nelson Bonilla, 33, pemain antarabangsa El Salvador, untuk menajamkan lagi barisan serangannya yang turut menampilkan Ivan Mamut, Ismaheel Akinade dan Chukwu Chijioke.

Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee, pula mengharapkan import terbaharu, Joao Pedro Boiera Duarte, mampu menampung kekosongan ditinggalkan Ramon Machado serta menyelesaikan ketumpulan jentera serangan The Rhinos.

Sabah juga berura-ura mendapatkan seorang pemain sayap andai kecederaan Saddil Ramdani memerlukan masa yang panjang untuk pulih.

Kedah Darul Aman (KDA) FC, di sebalik dihimpit masalah kewangan, mungkin tiada pilihan selain mendapatkan seorang pengganti setanding selepas pemain tengah, Habib Haroon, memilih untuk meninggalkan Alor Setar.

Tidak terkecuali pasukan di tangga terbawah, KDN FC, yang telah menamatkan kontrak pemain antarabangsa Congo, Chadrack Muzungu, turut berharap untuk memanfaatkan jendela perpindahan kedua bagi mengusahakan perubahan nasib pasukan.

Sri Pahang FC pada 10 Julai lalu mengumumkan pemain import dari Uzbekistan, Ruziev Kuvondik, tidak lagi bersama skuad itu selepas menerima tawaran untuk kembali bermain di negara kelahirannya bersama kelab Neftchi Fergana.

Ketua jurulatih, Fandi Ahmad, mengharapkan penggantian pemain akan dapat menamatkan kebuntuan jaringan pasukannya – punca utama mereka kini sekadar di tangga ke-10 hasil hanya satu menang, empat seri dan tiga kalah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram